- Iklan -
Berita

Peguam Najib mohon tarik diri

Hisyam Teh Poh Teik berkata beliau memerlukan lebih banyak masa untuk menghadapi kes tersebut.

Bernama
2 minit bacaan
Kongsi
Peguam utama Najib Razak, Hisyam Teh Poh Teik di Mahkamah Persekutuan Putrajaya hari ini. Gambar: Bernama
Peguam utama Najib Razak, Hisyam Teh Poh Teik di Mahkamah Persekutuan Putrajaya hari ini. Gambar: Bernama

Pendengaran rayuan Najib Razak berhubung sabitan kes SRC International Sdn Bhd hari ini bertukar dramatik apabila peguam Hisyam Teh Poh Teik memohon untuk menarik diri daripada mewakili bekas perdana menteri itu.

Katanya, beliau memerlukan lebih banyak masa kerana tidak bersedia menghadapi kes itu.

Hisyam adalah peguam utama Najib yang baru dilantik 26 Julai lalu.

Beliau yang menggantikan Muhammad Shafee Abdullah, memaklumkan permohonannya di hadapan Ketua Hakim Negara Tun Tengku Maimun Tuan Mat, yang mempengerusikan panel lima anggota pada hari pertama rayuan Najib.

Sehubungan itu, hakim Tengku Maimun membantah, mengatakan sebagai peguam, Hisyam tidak sepatutnya berundur dan harus menjalankan tugasnya untuk mewakili anak guamnya.

Hakim lain dalam panel yang diketuai Tengku Maimun termasuk Hakim Besar Sabah dan Sarawak Abang Iskandar Abang Hashim dan hakim Mahkamah Persekutuan Nallini Pathmanathan, Mary Lim Thiam Suan dan Mohamad Zabidin Mohd.

Tengku Maimun berkata mahkamah sudah mendengar permohonan Hisyam untuk penangguhan pendengaran pada Selasa dan memberikan alasan mereka bagi menolak permohonannya.

"Kami menegaskan sekali lagi bahawa alasan diberikan secara panjang lebar. Adakah anda sedar bahawa sebagai mahkamah tertinggi, adalah bidang kuasa kami untuk mentadbir keadilan, dan perlu memastikan mahkamah berfungsi?

"Adakah anda menerima perkara ini? Anak guam anda akan hilang wakilnya (di mahkamah). Jika anda menarik diri, anda akan tinggalkan dia tanpa peguam. Adakah anda terima hal ini?” katanya.

Hisyam menjawab beliau menerima semua yang dikatakan oleh Tengku Maimun.

"... namun atas keadaan-keadaan tertentu, saya tidak boleh teruskan sebagai wakil Najib," katanya.

Berhubung perkara itu, Tengku Maimun berkata: “Anda masih memerlukan kebenaran kami untuk menarik diri. Anda sepatutnya failkan afidavit terlebih dahulu. Peguam tidak sepatutnya pergi begitu sahaja tanpa memberitahu mahkamah.

"Dalam fikiran kami, anda boleh kendalikan kes itu dan anda mempunyai banyak peguam yang boleh mewakilinya,” katanya sebelum memerintahkan perbicaraan berhenti sebentar bagi memutuskan perkara itu.

Pada Selasa, hakim menolak permohonan Najib untuk menangguhkan pendengaran rayuan dan mengarahkan prosiding diteruskan hari ini.

Mahkamah juga turut menolak permohonan pembelaan untuk mengemukakan bukti baru bagi perbicaraan rayuan akhir.

Perbicaraan rayuan akhir Najib ditetapkan dari 15 hingga 19 Ogos dan 23 hingga 26 Ogos.