- Iklan -
Berita

Mahkamah Persekutuan tolak permohonan peguam Najib untuk tarik diri

Prosiding rayuan Najib diteruskan dan akan mendengar hujahan pihak pendakwaan.

Staff Writers
1 minit bacaan
Kongsi
Peguam Hisyam Teh Poh Teik. Gambar: Bernama
Peguam Hisyam Teh Poh Teik. Gambar: Bernama

Mahkamah Persekutuan menolak permohonan peguam utama Najib Razak, Hisyam Teh Poh Teik untuk menarik diri  daripada mewakili bekas perdana menteri itu dalam rayuan akhir terhadap sabitan kesalahan dan hukumannya dalam kes SRC International.

Mahkamah kini akan meneruskan prosiding dengan mendengar hujahan pihak pendakwaan.

“Kami dengan ini sebulat suara berpandangan bahawa berdasarkan fakta, peguam gagal memberikan alasan yang mencukupi untuk menarik diri, maka permohonan itu ditolak,” katanya.

Turut bersidang ialah Hakim Besar Sabah dan Sarawak, Abang Iskandar Abang Hashim serta tiga hakim Mahkamah Persekutuan, Nallini Pathmanathan, Mary Lim Thiam Suan dan Mohamad Zabidin Mohd Diah.

Ketika membacakan keputusan panel hakim, Tengku Maimun berkata, peguam boleh menarik diri jika mempunyai alasan yang kukuh.

Beliau menegaskan bahawa mahkamah mempunyai kuasa untuk menolak permohonan itu supaya peguam bertindak dalam keadaan yang sepatutnya.

Ini kerana beliau berkata, penarikan diri peguam boleh mengganggu kecekapan dan fungsi mahkamah itu sendiri.

“Sudah menjadi tanggungjawab mahkamah untuk melindungi hak orang yang dituduh, berlandaskan sistem kehakiman.

 “Di mana penarikan diri peguam mengganggu kecekapan dan fungsi mahkamah yang sepatutnya, mahkamah ada kuasa budi bicara untuk menolak permohonan berkenaan,” katanya.

Tengku Maimun: Adakah anda mahu mengemukakan apa-apa hujahan lanjutan?

Hisyam: Tidak.

Mahkamah kemudian mengarahkan prosiding rayuan akhir itu bermula dengan pasukan responden yang diketuai timbalan pendakwa raya kanan, V Sithambaram memulakan hujahannya.

Ketika prosiding pagi Khamis, Hisyam selaku peguam utama Najib memohon kepada mahkamah untuk menarik diri daripada mewakili Najib.

Hisyam berkata, jika beliau tidak dapat menangguhkan pendengaran prosiding itu, beliau berharap untuk menarik diri daripada mengendalikan rayuan tersebut dan meninggalkan Najib.