- Iklan -
Berita

Khairy lawat Thailand, nilai potensi penggunaan ganja perubatan

Beliau dijangka bertemu pemain industri ganja dan ketum di Thailand dan akan diberikan taklimat berhubung penyelidikan bahan itu dalam perubatan.

Bernama
2 minit bacaan
Kongsi
Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin. Gambar: Bernama
Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin. Gambar: Bernama

Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin kini dalam lawatan kerja selama empat hari ke Thailand bagi menilai potensi penggunaan ganja dan ketum bagi tujuan perubatan dan rangka kerja undang-undang untuk tujuan itu.

Kementerian Kesihatan (KKM) berkata, lawatan kerja Khairy yang bermula hari ini adalah bagi memenuhi jemputan rasmi Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Kesihatan Awam Thailand, Anutin Charnvirakul.

Khairy dijadualkan melawat Pejabat Farmaseutikal Kerajaan hari ini di mana beliau akan diberi taklimat mengenai dasar berhubung ganja perubatan di Thailand termasuk amalan, kaedah penanaman dan penyelidikan mengenai penggunaan ganja dan ketum untuk tujuan kesihatan di negara itu.

Thailand adalah negara pertama di Asia Tenggara yang menghalalkan ganja dan menggunakannya bagi tujuan perubatan

"Lawatan dua hala itu mewakili platform ideal untuk KKM memahami perkembangan dalam penyelidikan antarabangsa dan penemuan bagi menyokong penggunaan ganja klinikal," kata kenyataan itu.

KKM turut berkata lawatan itu juga membuka peluang kerjasama antarabangsa bagi sektor swasta dan entiti penyelidikan yang menjalankan kajian klinikal mengenai ganja dan ketum bagi membangunkan inovasi perubatan yang akan meningkatkan lagi kualiti penjagaan kesihatan di Malaysia.

Khairy dijangka bertemu pemain industri ganja dan ketum di Thailand selain melawat Siam Cannabis Land di mana beliau akan melihat sendiri ladang  tanaman yang diusahakan di negara itu.

Delegasi Malaysia juga akan melawat Hospital Antarabangsa Bumrungrad, yang merupakan salah satu hospital swasta terbesar di Asia Tenggara, dan juga Institut Psikiatri Somdet Chaopraya yang menyediakan perkhidmatan penjagaan kesihatan mental moden.

Bulan lalu, Khairy berkata rangka kerja berhubung pendaftaran produk cannabidiol tertentu akan diumumkan.

Sementara itu KKM juga berkata Khairy dijadualkan menghadiri mesyuarat peringkat tinggi Apec mengenai kesihatan dan ekonomi di Bangkok pada Khamis sebelum pulang ke Kuala Lumpur.