- Iklan -
Berita

Tiada cuti untuk penjual basikal terpakai, kelangsungan hidup jadi taruhan

Mohd Kamal Jusop pernah mengusahakan kem motivasi di Hulu Langat namun kini masanya banyak dihabiskan di kawasan besi buruk.

Ahmad Mustakim Zulkifli
2 minit bacaan
Kongsi
Mohd Kamal Jusop memeriksa basikal yang dibawa ke bengkelnya di Hulu Langat, Selangor.
Mohd Kamal Jusop memeriksa basikal yang dibawa ke bengkelnya di Hulu Langat, Selangor.

Sudah menjadi rutin Mohd Kamal Jusop berulang-alik dari Hulu Langat ke kawasan besi buruk di sekitar mukim itu untuk mencari basikal yang dibuang orang untuk dibaiki dan dijual semula.

Penjaga kawasan itu mengenalinya dan mereka akan menghubungi Kamal jika ada basikal buruk yang boleh dibelinya dengan harga murah.

Di usia 50-an, Kamal juga kerap meronda kawasan perumahan dan bertanya sendiri kepada pemilik basikal jika mereka mahu menjual basikal yang kelihatan sudah tidak lagi digunakan. 

Banyak basikal milik pekerja asing yang tidak lagi digunakan, dikutip lelaki itu.

Setelah beberapa lama, dia membuat rangkaian dengan pekerja warga asing yang akan memaklumkan kepadanya jika ada basikal tidak lagi diingini.

Kamal sudah 12 tahun mengusahakan perniagaan basikal terpakai sejak 2010 untuk menyara keluarganya sebanyak lapan orang. 

Sebelum itu, Kamal pernah bekerja dengan kerajaan secara kontrak sebelum membuka pusat latihan dan motivasi di Sungai Gabai, Hulu Langat, Selangor. 

Pelbagai pihak datang menggunakan kem itu dan dia dapat menyara hidup dan keluarga dengan mengusahakan pusat latihan tersebut. 

Namun setelah dua dekad, perniagaan itu perlahan-lahan merudum.

"Oleh kerana keadaan ekonomi yang tidak memberangsangkan, dan masalah seperti kencing tikus di tapak-tapak kem, banyak pusat latihan gulung tikar," katanya kepada MalaysiaNow.

Katanya, perusahaan pusat latihan dan kem motivasi amat memerlukan perbelanjaan agensi kerajaan yang sering menggunakan fasiliti itu. 

Melihat perusahaan pusat latihannya semakin perlahan, dia mula mencari alternatif lain. 

Sejak dari itu, basikal terpakai menarik perhatiannya, dan dia mula mencari dan menjual basikal secara dalam talian, sebelum mempunyai bengkel basikal di Hulu Langat.

Katanya, ada juga basikal persendirian yang dihantar terus kepadanya. 

Bergantung kepada keadaan basikal, tidak semua basikal diterima oleh Kamal untuk dibaiki dan dijual semua. 

"Jika keadaan basikal masih boleh diterima, saya ambil. Jika terlalu banyak kerosakan, kos baikinya tidak berbaloi kerana peralatan basikal agak mahal.

"Kalau basikal itu boleh dijual semula dengan nilai tinggi, saya akan buat full restore," tambahnya. 

Katanya, basikal mountain bike merupakan basikal yang paling mendapat permintaan. 

Basikal lumba dan BMX mempunyai peminat tertentu. 

Dia juga turut menjual basikal terpakai untuk kanak-kanak.

Bergantung kepada musim, basikal kanak-kanak turut mempunyai permintaan tersendiri. 

Selain menjual basikal, Mohd Kamal sering menjual di tapak-tapak jualan “car-boot” hampir setiap hujung minggu bagi menampung kos sara hidup. 

Antara barangan yang dijual ialah buku, mainan kanak-kanak dan barangan vintaj yang mana dia kumpul atau beli daripada rakan-rakan.  

"Di Kota Damansara, car-boot bermula pukul 7 sampai 12 pagi. Saya boleh dapat RM200-RM300 bergantung kepada barangan yang saya dapat. Selepas itu saya akan ke bengkel juga jika ada pelanggan mahu membeli basikal," katanya.

Semua itu dilakukannya tanpa mengenal penat lelah bagi menyara keluarganya. 

Bapa kepada enam anak itu berkata, dia hanya mengambil waktu rehat beberapa jam sehari sekiranya mempunyai urusan keluarga. 

Kamal mengakui pendapatannya memang sedikit terganggu jika dia mengambil cuti panjang, seperti cuti raya atau balik kampung untuk menguruskan masalah keluarga. 

Namun dia bernasib baik kerana isteri masih bekerja sebagai guru.

"Bidang perniagaan ini memang mudah dari segi teori, tapi dari segi praktikalnya bergantung kepada pengurusan masing-masing. 

"Tak semestinya naik sahaja, kalau merudum sehingga memakan diri, terpaksa tinggalkan dan cari bidang lain, walaupun keuntungannya menuntut kerajinan diri sendiri," katanya.