- Iklan -
Berita

Sukar dipercayai Najib boleh tutup mata jutaan wang masuk akaunnya, kata pendakwa raya

V Sithambaram berkata sepatutnya Najib harus mempersoalkan mengenai sumber wang itu.

Bernama
1 minit bacaan
Kongsi
Bekas perdana menteri Najib Razak meninggalkan Istana Kehakiman di Putrajaya hari ini. Gambar: Bernama
Bekas perdana menteri Najib Razak meninggalkan Istana Kehakiman di Putrajaya hari ini. Gambar: Bernama

Sungguh sukar dipercayai bagaimana bekas perdana menteri Najib Razak hanya menutup mata membiarkan sahaja jutaan ringgit dimasukkan ke dalam akaun bank peribadinya, Mahkamah Persekutuan diberitahu hari ini.

Pendakwa raya ad hoc V Sithambaram berkata dengan aliran sejumlah besar wang ke dalam akaun banknya, Najib sepatutnya mempersoalkan mengenai sumber dana tersebut.

“Sikap menutup mata berhubung jutaan (ringgit) yang dimasukkan ke dalam akaunnya dengan satu-satunya alasan pengurusan akaun bank peribadinya diserahkan kepada bekas ketua pegawai eksekutif SRC Nik Faisal Ariff Kamil dan mengatakan tidak mengetahui baki akaunnya selama lima tahun benar-benar sukar dipercayai.”

Timbalan pendakwa raya (DPP) itu berkata demikian dalam hujahannya di hadapan panel lima hakim diketuai Ketua Hakim Negara Tengku Maimun Tuan Mat.

Hakim lain yang turut mendengar rayuan termasuk Ketua Hakim Sabah dan Sarawak Abang Iskandar Abang Hashim dan hakim Mahkamah Persekutuan Nallini Pathmanathan, Mary Lim Thiam Suan dan Mohamad Zabidin Mohd.