- Iklan -
Berita

Najib tidak persoal Ambank berhubung jumlah besar wang 'keluar masuk' dalam akaunnya

Timbalan pendakwa raya V Sithambaram berkata bekas perdana menteri itu tidak mempunyai masalah dengan baki banknya sehingga menutup akaun itu pada Mac 2015.

Bernama
1 minit bacaan
Kongsi
Bekas perdana menteri Najib Razak di Mahkamah Persekutuan Putrajaya hari ini. Gambar: Bernama
Bekas perdana menteri Najib Razak di Mahkamah Persekutuan Putrajaya hari ini. Gambar: Bernama

Mahkamah Persekutuan Putrajaya diberitahu bahawa Najib Razak tidak pernah mengemukakan sebarang pertanyaan kepada AmBank berhubung dana dalam jumlah yang besar sentiasa keluar masuk ke akaun bank peribadinya sehingga beliau menutup akaunnya pada 2015.

Timbalan pendakwa raya V Sithambaram berhujah bahawa bekas perdana menteri itu tidak mengambil sebarang tindakan undang-undang terhadap bank itu atas dakwaan dana dikredit dan didebit secara salah ke akaunnya.

“Keterangan dua pegawai AmBank iaitu Uma Devi Raghavan dan Joanna Yu Ging Ping menunjukkan Najib tidak pernah membuat sebarang pertanyaan kepada AmBank apatah lagi membuat sebarang aduan berhubung jumlah dana yang besar yang sentiasa keluar masuk akaunnya.

"Malah, perayu (Najib) tidak mempunyai masalah dengan baki banknya sehingga menutup akaunnya pada Mac 2015," katanya pada prosiding rayuan Najib terhadap sabitan dan hukuman terhadap penyelewengan RM42 juta dana SRC International Sdn Bhd.

Beliau berhujah demikian di hadapan panel lima hakim yang diketuai Ketua Hakim Negara Tengku Maimun Tuan Mat bersama Hakim Besar Sabah dan Sarawak Abang Iskandar Abang Hashim dan hakim Mahkamah Persekutuan Nallini Pathmanathan, Mary Lim Thiam Suan dan Mohamad Zabidin Mohd .