- Iklan -
Berita

Permohonan 6 parti sertai BN diperhalusi, kata Zambry

BN turut mengumumkan penubuhan sayap puteri gabungan itu.

Bernama
1 minit bacaan
Kongsi
Pekerja parti mengibarkan bendera Barisan Nasional di Jalan Bukit Senjuang di Melaka ketika kempen pilihan raya negeri tahun lalu.
Pekerja parti mengibarkan bendera Barisan Nasional di Jalan Bukit Senjuang di Melaka ketika kempen pilihan raya negeri tahun lalu.

Permohonan enam buah parti untuk menjadi komponen Barisan Nasional (BN) sedang diperhalusi oleh pihak urusetia gabungan itu.

Setiausaha Agung BN Zambry Abdul Kadir, berkata, perkara itu adalah agenda yang dibincangkan dalam mesyuarat Dewan Tertinggi BN malam tadi.

"Dewan Tertinggi merakamkan penghargaan dan terima kasih kepada parti-parti tersebut atas minat dan kesediaan mereka untuk bersama-sama dengan BN," katanya kepada pemberita selepas mesyuarat Dewan Tertinggi BN di Menara Dato' Onn, Pusat Dagangan Dunia, di Kuala Lumpur. 

Mesyuarat tersebut dipengerusikan Pengerusi BN Ahmad Zahid Hamidi dan turut dihadiri Timbalan Pengerusi BN Mohamad Hasan, Naib Pengerusi Wee Ka Siong, S Vigneswaran dan Arthur Joseph Kurup. 

Turut hadir wakil MIC, M Saravanan, wakil Umno, Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob dan Mahdzir Khalid serta wakil MCA, senator Mah Hang Soon.

Sementara itu, Zambry berkata Dewan Tertinggi BN juga bersetuju mewujudkan Puteri BN bagi menyelaras pergerakan wanita muda di semua parti komponen, dengan Ketua Puteri Umno, Zahida Zarik Khan dilantik sebagai ketua Puteri BN.

Selain itu, beliau berkata Dewan Tertinggi turut memutuskan pelantikan Hishammuddin Hussein sebagai bendahari agung BN disambung bagi tempoh dua tahun lagi.

Hishammuddin, yang juga ahli Parlimen Sembrong, dilantik sebagai bendahari agung BN pada 23 Oktober 2020 menggantikan Tengku Adnan Tengku Mansor.