- Iklan -
Berita

Lihat saya sebagai ketua kerajaan, bukan pemimpin politik, kata Ismail

Perdana menteri minta penjawat awam pertahan kerajaan daripada dakwaan fitnah.

Bernama
1 minit bacaan
Kongsi
Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob berucap di hadapan penjawat awam di Putrajaya hari ini. Gambar: Bernama
Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob berucap di hadapan penjawat awam di Putrajaya hari ini. Gambar: Bernama

Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob berkata kerajaan pimpinannya adalah kerajaan bersama yang menekankan konsep Keluarga Malaysia dan penjawat awam wajar mempertahankan kerajaan daripada pelbagai dakwaan dan fitnah kononnya pentadbirannya gagal.

Pada majlis perjumpaan perdana menteri bersama warga Jabatan Perdana Menteri (JPM) di Putrajaya hari ini, Ismail berkata penjawat awam wajar mempertahankan kerajaan dengan melihat beliau sebagai ketua kerajaan dan mereka bukannya mempertahankan parti politik.

Pada pertemuan itu, Ismail berkongsi kejayaan dikecapi kerajaan antaranya pencapaian cemerlang keluaran dalam negara kasar (KDNK) yang merekodkan pertumbuhan 8.9% pada suku kedua tahun ini, selain mewujudkan pekerjaan mencecah 400,000 serta prestasi nilai dagangan melepasi RM2 trilion.

"Apabila tuan puan mempertahankan, tuan puan tidak berpolitik. Jangan lihat saya sebagai pemimpin politik tetapi sebagai ketua kerajaan dan tuan puanlah anggota kerajaan.

"Kerajaan ini adalah kerajaan bersama. Sebab itu saya perkenalkan konsep Keluarga Malaysian sebab saya nak kita bersama anggap kerajaan ini sebagai satu keluarga," katanya.

Perjumpaan itu turut dihadiri Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-undang) Wan Junaidi Tuanku Jaafar, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi) Mustapa Mohamed dan Ketua Setiausaha Negara Mohd Zuki Ali.