- Iklan -
Berita

Cabaran mencari keseimbangan hidup-pekerjaan di Kuala Lumpur

Sama ada seseorang itu menanggung banyak beban kerja kerana sistem, pilihan peribadi atau kurang cekap, pelbagai usaha perlu dilakukan bagi meningkatkan kualiti hidup mereka, kata pemerhati.

Ahmad Mustakim Zulkifli
3 minit bacaan
Kongsi
Seorang wanita melalui jambatan selepas bekerja di pusat bandar Kuala Lumpur.
Seorang wanita melalui jambatan selepas bekerja di pusat bandar Kuala Lumpur.

Walaupun Kuala Lumpur terkenal di mata dunia sebagai ibu negara Malaysia, namun ia turut dikenali atas sebab yang kurang positif: menurut tinjauan oleh firma teknologi AS Kisi, ia adalah bandar ketiga paling banyak beban kerja pada 2022, menyusuli Hong Kong dan Dubai yang masing-masing di tempat kedua dan pertama.

Bahkan, ini bukan kali pertama Kuala Lumpur berada dalam senarai 10 teratas bandar paling banyak beban kerja.

Tahun lalu, Kuala Lumpur menduduki tempat kelapan manakala pada 2020 dan 2019, ia berada di kedudukan keempat.

Tinjauan tahun ini mengambil kira beberapa perkembangan terkini termasuk inflasi global, kesan daripada pencerobohan Rusia ke atas Ukraine, dan kesan berterusan pandemik Covid-19.

Tinjauan yang dijalankan di 49 bandar di seluruh dunia serta 51 bandar di AS, berdasarkan tiga kategori: intensiti kerja, masyarakat dan institusi serta kebolehdiaman.

Kategori pertama mempertimbangkan aspek kerja jarak jauh dan masa bercuti yang minimum, kadar pengangguran, dan mereka yang bekerja lebih dari satu pekerjaan.

Masyarakat dan institusi merangkumi kesan pandemik dan sokongan serta penjagaan kesihatan yang disediakan oleh bandar, manakala kebolehdiaman mempertimbangkan isu kemampuan, budaya, ruang luar, keselamatan dan kesejahteraan.

Dari segi populasi golongan yang paling banyak beban kerja, Kuala Lumpur memperoleh 17.10%, di belakang Dubai (23.40%) dan Hong Kong (17.09%) namun menduduki tempat terakhir dalam kategori banyak pekerjaan pada 1.10%.

Dari segi ruang luar, Kuala Lumpur menduduki tempat kedua terakhir selepas Dubai. 

Ia juga menawarkan hanya lapan hari percutian minimum berbanding Dubai di tempat teratas dengan 30 hari.

Namun, bercakap kepada MalaysiaNow, pakar sumber manusia S Arulkumar mengesyorkan untuk menerima laporan itu dengan berhati-hati.

"Ia hanya mewakili sampel kecil, dan sukar untuk membuat kenyataan yang menyeluruh," tambah Arulkumar yang merupakan pengasas bersama Malaysia HR Forum and Social Compliance.

"Perincian perlu ada. Adakah mereka kakitangan kerajaan atau daripada sektor swasta? Apakah jenis industri, dan sebagainya? Setiap kategori ini adalah unik dan bersifat tersendiri.”

Beliau mengakui kes terlalu banyak beban kerja berpunca daripada sistem atau pilihan peribadi.

"Tetapi pada tahap yang lebih besar, ia juga boleh berpunca daripada cekap dan produktiviti," katanya.

"Dua faktor ini sahaja sudah mengatasi faktor yang lain."

Sementara itu, ahli akademik Zaid Ahmad dari Universiti Putra Malaysia berkata kemasukan Kuala Lumpur dalam senarai itu bukanlah sesuatu yang mengejutkan memandangkan statusnya sebagai kawasan yang paling berkembang akibat proses urbanisasi di negara ini.

"Kuala Lumpur sentiasa menjadi pusat migrasi bagi kita,” kata Zaid, dari fakulti ekologi manusia, kepada MalaysiaNow.

"Apabila berlaku perubahan gaya hidup, ada pihak yang kurang bersedia dan mengalami masalah mengurus masa dan pelbagai aspek kehidupan. Cerita mengenai kehidupan di Kuala Lumpur dapat diketahui menerusi lagu-lagu sebelum ini. Itulah luahan masyarakat pada masa itu."

Semasa zaman awal urbanisasi, katanya, tidak timbul persoalan mencari keseimbangan kehidupan dan kerjaya.

“Di bandar, ia adalah survival hidup. Ia mewujudkan gaya hidup baru yang disebut workaholic.

"Hampir 24 jam orang bercakap mengenai kerja kerana ia menjadi keperluan dan bukan pilihan seseorang individu."

Menurut kajian AS itu, kedudukan teratas untuk bandar yang mempunyai keseimbangan kehidupan dan kerja yang terbaik dipegang oleh bandar di Eropah: Oslo (Norway), Bern (Switzerland) dan Helsinki (Finland).

Di Malaysia, Arulkumar berkata pelbagai usaha perlu dilakukan untuk menambah baik keseimbangan antara kerjaya dan kehidupan.

Beliau berkata cara yang lebih mampan ialah mempunyai tenaga kerja yang berpendidikan dan berkemahiran tinggi untuk menyelesaikan isu kecekapan dan produktiviti.

"Sebarang campur tangan lain hanya akan memberikan kesan 'Panadol'," katanya.

“Perundangan akan membantu, seperti pindaan Akta Pekerjaan baru-baru ini yang mengurangkan waktu kerja mingguan daripada 48 kepada 45 jam. Tetapi hanya pada tahap tertentu.

"Majikan mungkin akan cuba mencari cara untuk mengelak bayar lebih masa, dan ini, seterusnya, boleh mengurangkan waktu kerja yang panjang."

Sementara itu, Zaid berkata Kuala Lumpur bukanlah persekitaran yang kondusif untuk keseimbangan kerja dan kehidupan, memetik isu kesesakan lalu lintas yang dihadapi warganya, selain banjir dan tahap pencemaran.

"Habitat manusia mesti mengikut fitrahnya," katanya.

"Tanpa keseimbangan, manusia akan hidup secara tidak normal. Di sinilah peranan perancang bandar dan pembangunan untuk melihat kesejahteraan manusia dalam kerangka luas, bukan hanya pendapatan."