- Iklan -
Berita

Malaysia dijangka capai pertumbuhan KDNK 5.3% hingga 6.3% tahun ini

Menteri Kewangan Tengku Zafrul Aziz berkata pertumbuhan ekonomi Malaysia dijangka meningkat pada suku ketiga 2022.

Bernama
1 minit bacaan
Kongsi
Pemandangan dari udara pusat bandar Kuala Lumpur.
Pemandangan dari udara pusat bandar Kuala Lumpur.

Malaysia di landasan tepat untuk mencatat pertumbuhan keluaran dalam negara kasar (KDNK) dalam lingkungan 5.3% hingga 6.3% pada 2022, kata Menteri Kewangan Tengku Zafrul Aziz.

“Saya amat optimis kita akan mencapai unjuran KDNK antara 5.3% hingga 6.3%," katanya dalam wawancara dengan stesen penyiaran CNBC, pagi ini.

Zafrul berkata pertumbuhan ekonomi Malaysia dijangka meningkat pada suku ketiga 2022, meneruskan momentum positif ekonomi dalam separuh pertama tahun ini, dipacu oleh penggunaan swasta berikutan pembukaan semula aktiviti ekonomi di negara ini.

KDNK Malaysia berkembang kukuh pada 8.9% pada suku kedua 2022, didorong oleh peningkatan ketara perdagangan luar dengan nilai eksport dan import mencecah paras tinggi pada Jun lepas.

Bagaimanapun, prospek ekonomi negara bagi tempoh memasuki 2023 dijangka mencabar berikutan kebimbangan mengenai kelembapan ekonomi global, pertumbuhan China yang tidak menentu serta dasar monetari Rizab Persekutuan Amerika Syarikat (AS) yang agresif.

“Malah, pihak Tabung Kewangan Antarabangsa dan Bank Dunia telah menyemak semula unjuran pertumbuhan global masing-masing berikutan konflik Ukraine-Rusia.

“China yang juga rakan dagang terbesar Malaysia turut melaksanakan dasar sifar Covid-19 yang konservatif dan ini telah menjejaskan rantaian bekalan di antara kedua-dua negara,” katanya.

Selain itu, Tengku Zafrul berkata defisit belanjawan Malaysia dijangka kekal pada 6.0% pada 2022 dengab nisbah hutang-kepada-KDNK ketika ini pada paras 60%, lebih rendah daripada had sebanyak 65%.

“Kita perlu berpegang kepada defisit 6.0% itu. Kita juga perlu memastikan bahawa hasil adalah sejajar dengan belanjawan atau sekurang-kurangnya sepadan dengan apa yang perlu dilaksanakan untuk menampung peningkatan perbelanjaan akibat subsidi,” katanya.