- Iklan -
Berita

Kerajaan akan bincang cadangan eksport semula ayam

Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob berkata ia susulan permohonan penternak yang mahu kerajaan mengkaji semula larangan eksport itu.

Bernama
2 minit bacaan
Kongsi
Seorang pelanggan membeli ayam di Pasar Datuk Keramat di Kuala Lumpur.
Seorang pelanggan membeli ayam di Pasar Datuk Keramat di Kuala Lumpur.

Kerajaan akan membincangkan cadangan untuk membenarkan semula eksport ayam ke luar negara, kata Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob.

Beliau berkata ia susulan permohonan dari penternak yang mahu kerajaan mengkaji semula larangan eksport itu.

"Kita akan bincang dan kalau rasa kita boleh benarkan eskport, dan dari segi bekalan dalam negara tidak berkurangan kerana eksport itu, mungkin kita boleh pertimbangkan untuk semak semula (larangan eksport),” katanya.

"Ini sedang dibincangkan dan akan dibentangkan (Menteri Pertanian dan Industri Makanan) Ronald Kiandee secara terperinci, berapakah jumlah pengeluaran ayam untuk bulan depan. Adakah akan memberi kesan kalau kita lepaskan (benarkan) eksport.

"Kita takut nanti buka eksport 3.6 juta ekor sebulan, kalau kita buka (eksport), takut terkesan pula dari segi bekalan dalam negara. Bila bekalan kurang, harga mesti naik kerana permintaan melebihi penawaran. Sebab itu saya minta Mafi (Kementerian Pertanian dan Industri Makanan) tengok secara terperinci dari segi unjuran pengeluaran ayam untuk bulan depan," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas melawat Pavilion Pahang pada Pameran Pertanian, Hortikultur dan Agropelancomgan Malaysia (MAHA) 2022 di Taman Ekspo Pertanian Malaysia Serdang (Maeps).

Ismail Sabri berkata kerajaan akan melihat kepentingan semua pihak supaya sebarang keputusan yang diambil mengenai eksport ayam, tidak akan memberi kesan kepada rakyat, dan menurutnya beliau percaya unjuran pengeluaran ayam itu akan dapat dibentangkan oleh Mafi minggu depan.

Sementara itu Perdana Menteri berkata beliau turut mengarahkan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) menyenaraikan barangan yang telah turun harga serta barangan yang masih belum turun harga.

"Ini bertujuan membolehkan kerajaan memberi fokus untuk usaha menurunkan harga barang bagi menjamin keselesaan rakyat," katanya.

Sementara itu ketika mengulas mengenai isu kebocoran data peribadi yang didedah syarikat penyedia penyelesaian pembayaran dalam talian iPay88 Sdn Bhd, Ismail berkata ia akan dibincangkan dalam mesyuarat Kabinet.

"Ini kerana terdapat beberapa cadangan suruh buat RCI (Suruhanjaya Siasatan Diraja) dan macam-macam. Kita akan bawa ke Kabinet kerana perkara itu perkara besar," katanya.