- Iklan -
Berita

Ekonomi meningkat 8.9% pada suku kedua 2022

Pada asas suku tahunan terlaras secara bermusim, Bank Negara berkata ekonomi meningkat sebanyak 3.5% berbanding 3.8% pada Q1 2022.

Bernama
1 minit bacaan
Kongsi
Dua warga kota berjalan di laluan pejalan kaki pusat bandar Kuala Lumpur.
Dua warga kota berjalan di laluan pejalan kaki pusat bandar Kuala Lumpur.

Ekonomi Malaysia mencatatkan pertumbuhan cemerlang sebanyak 8.9% pada suku kedua (Q2) 2022 apabila permintaan domestik terus mengukuh, disokong pemulihan keadaan pasaran buruh selain turut disokong dasar yang berterusan.

Dalam satu kenyataan hari ini, Bank Negara Malaysia (BNM) berkata peningkatan pertumbuhan itu juga mencerminkan aktiviti ekonomi yang  normal ketika negara beralih ke fasa endemik dan pembukaan semula sempadan antarabangsa.

“Eksport kekal disokong oleh permintaan kukuh bagi produk elektrik dan elektronik (E&E). Berdasarkan sektor, sektor perkhidmatan dan pembuatan terus memacu pertumbuhan negara,” katanya.

Menurut BNM, walaupun keluaran dalam negara kasar (KDNK) meningkat disebabkan oleh asas rendah berikutan perintah kawalan pergerakan (PKP) yang dikuatkuasan pada Jun 2021, namun bank pusat itu berkata pertumbuhan pada April dan Mei 2022 menunjukkan prestasi yang kukuh.

Pada asas suku tahunan terlaras secara bermusim, ia berkata ekonomi meningkat sebanyak 3.5% berbanding 3.8% pada Q1 2022.