Sekatan perjalanan satu bentuk keadilan, bukan cabul hak asasi, kata LHDN
Lembaga Hasil Dalam Negeri berkata tidak adil jika golongan yang culas membayar cukai diberikan hak kebebasan untuk keluar negara.
Terkini
Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) hari ini mempertahankan tindakan sekatan perjalanan terhadap individu yang culas membayar cukai, menyifatkan ia sebagai suatu tindakan berbentuk keadilan kepada golongan yang patuh dalam melaksanakan tanggungjawab tersebut mengikut jadual.
“Jika dilihat dari sudut negatif sememangnya akan mengundang pelbagai reaksi daripada pelbagai pihak.
“Ada yang menganggap ia sebagai salah satu pencabulan hak manusia untuk bergerak bebas seperti yang diperuntukkan di dalam Perkara 9 Perlembagaan Persekutuan."
Dalam sebuah kenyataan, LHDN berkata adalah tidak adil jika golongan yang gagal serta culas ini diberikan hak kebebasan untuk keluar melancong ke luar negara tanpa dahulu menjelaskan cukai kepada negara.
“Mereka seharusnya terlebih dahulu membantu menjana pendapatan negara melalui pembayaran cukai sebelum membelanjakan selebihnya kepada negara luar.”
Menurut LHDN, sekatan perjalanan itu juga adalah satu bentuk daripada elemen pendidikan cukai yang membantu pembayar cukai supaya sentiasa memastikan agar rekod percukaian mereka sentiasa dikemas kini serta teratur.
“Penguatkuasaannya juga dapat meningkatkan kadar pematuhan cukai di Malaysia yang memperlihatkan wujudnya elemen kesedaran membayar cukai sebelum mereka merancang untuk melakukan perjalanan ke luar negara.”
“Bak kata pepatah, ‘sediakan payung sebelum hujan’ sememangnya tepat untuk digambarkan bagi situasi ini apabila pembayar cukai perlu menyemak dahulu status sekatan perjalanan sebelum apa-apa tindakan dilaksanakan."
LHDN berkata sekatan perjalanan boleh dikuatkuasakan dalam beberapa keadaan, termasuk ketika pembayar cukai sama ada warga Malaysia atau asing mungkin meninggalkan negara tanpa membayar tunggakan cukai mereka.
Ia juga boleh dikenakan terhadap pengarah syarikat yang berkemungkinan akan keluar dari Malaysia tanpa membayar cukai syarikat yang mana dia bertanggungjawab.
Selain pembayar cukai yang akan dan telah didakwa bagi kesalahan sivil bagi tujuan kutipan cukai.
Langgan berita kami
Anda akan menerima berita terkini dan analisis harian.
Paling Popular
Tiada artikel ditemui.