- Iklan -
Berita

Mampukah Mahathir ulangi kemenangan 2018 dengan gerakan terbarunya?

Bekas perdana menteri itu sering dikatakan menjadi faktor kemenangan Pakatan Harapan pada PRU14, namun persoalan kini timbul apakah beliau dapat mengulangi kemenangan itu dengan Gerakan Tanah Air.

Nur Hasliza Mohd Salleh
2 minit bacaan
Kongsi
Bekas perdana menteri dan Pengerusi Pejuang Dr Mahathir Mohamad.
Bekas perdana menteri dan Pengerusi Pejuang Dr Mahathir Mohamad.

Satu gagasan baru politik diperkenalkan awal minggu lalu oleh Dr Mahathir Mohamad dengan nama Gerakan Tanah Air yang menghimpunkan parti-parti Melayu kecil.

Gagasan baru itu adalah demi menentang Umno sekali gus menghentikan spekulasi satu lagi pakatan dalam politik negara.

Namun, persoalannya mampukah Mahathir mengulang kembali kemenangan Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) seperti yang diraikan pada malam 9 Mei 2018?

Kemenangan penuh bergaya pada malam tersebut disebut-sebut oleh media di seluruh dunia dengan menamakan Mahathir sebagai faktor utama Putrajaya buat pertama kalinya ditawan oleh pembangkang.

Bagaimanapun penganalisis politik tempatan menjangkakan perjalanan sukar bagi gagasan politik baru pimpinan Mahathir untuk menawan Putrajaya pada PRU15 akan datang.

Setakat ini, gerakan tersebut melibatkan empat parti politik Melayu.

Ini termasuk Pejuang, Putra, Berjasa dan Iman bersama-sama dengan badan bukan kerajaan (NGO), ahli akademik dan ahli profesional perseorangan. 

Penganalisis politik Azmil Tayeb dari Universiti Sains Malaysia (USM) berkata kewujudan gerakan tersebut tidak lebih daripada satu retorik dan usaha supaya mereka dilihat masih relevan dalam kalangan pengundi Melayu. 

Katanya, parti-parti politik di dalam gerakan tersebut seperti Berjasa tidak mempunyai rekod yang baik dalam siri pilihan raya. 

Malah, keberadaannya sekadar untuk meramaikan pihak dan komponen di dalam gabungan tersebut. 

Dalam sidang media khas pada Khamis, Mahathir berkata penubuhan gerakan itu bermatlamat untuk melawan Umno yang disifakannya sudah menyeleweng dan bermotifkan wang ringgit. 

Bagaimanapun, Azmil berkata ianya tetap sukar untuk menewaskan parti tersebut.  

"Tapi boleh bertanding dengan lebih kompetitif terutama di Kedah, Terengganu dan Kelantan," katanya kepada MalaysiaNow.  

Gerakan Tanah Air memberitahu sebanyak 120 kerusi akan dipertandingkan pada PRU15 tumpuan diberikan kepada kerusi-kerusi di kawasan Semenanjung Malaysia.

Lebih membimbangkan, kata Azmil, naratif perjuangan yang hanya melibatkan kaum Melayu mampu menjauhkan gerakan tersebut daripada para pengundi bukan Melayu. 

Katanya, politik berasaskan perkauman hanya berkesan bagi sesetengah kelompok pengundi Melayu. 

"Tetapi Gerakan Tanah Air harus bertanding (lawan) Umno, PAS, Bersatu yang sudah lama bertapak dan dikenali ramai.

"Dalam erti kata lain, Gerakan Tanah Air adalah usaha yang sia-sia." 

Dalam pada itu, pemerhati politik dari Universiti Tasmania, Australia James Chin berkata Mahathir berkemungkinan berupaya mendapat sokongan peribadi disebabkan "branding"namanya sendiri. 

Bagaimanapun, katanya, sokongan itu masih belum boleh diterjemah kepada parti Pejuang. 

Menurut Chin, parti itu mempunyai satu masalah yang ketara iaitu tiada infrastruktur yang jelas untuk menjadikan ianya sebuah parti kebangsaan. 

Ini menyebabkan, Gerakan Tanah Air sukar untuk menjadi sebahagian daripada pembuat perubahan pada PRU15 memandangkan semakin ramai orang menyedari kehadiran mereka terlalu kecil dan tidak penting. 

Kedua, kata Chin, masalah Pejuang adalah tiada tokoh lain yang menjadi pemain utama dalam parti itu selain Mahathir dan anaknya, Mukhriz Mahathir. 

"Apa yang Mahathir sedang lakukan sekarang adalah hanya untuk kekal relevan. 

"Dan, dia mahu mengingatkan para penyokong bahawa dialah yang paling nasionalis Melayu. Itu sahaja," katanya.