- Iklan -
BeritaBaru Terbit

Rakyat Indonesia mula ke Sarawak selepas pembekuan tenaga kerja ditarik balik

Mereka sanggup melakukan apa sahaja asalkan dapat memperoleh pendapatan yang baik untuk menyara keluarga.

Nur Shazreena Ali
3 minit bacaan
Kongsi
Seorang pekerja kontrak duduk menikmati makanan ketika rehat tengah hari di Jalan Chan Sow Lin, Kuala Lumpur. Malaysia sangat bergantung dengan buruh luar untuk pekerjaan yang tidak menjadi pilihan warga tempatan.
Seorang pekerja kontrak duduk menikmati makanan ketika rehat tengah hari di Jalan Chan Sow Lin, Kuala Lumpur. Malaysia sangat bergantung dengan buruh luar untuk pekerjaan yang tidak menjadi pilihan warga tempatan.

Ketika Indonesia menarik balik pembekuan penghantaran tenaga kerjanya pada 1 Ogos lalu, Todi dan Andi sudah pun berada di Sarawak.

Dua sahabat itu masuk ke Malaysia beberapa hari sebelum sekatan itu ditarik balik, mereka tiba di Kuching dari Pontianak sebelum menuju ke Sibu.

Seperti ribuan pekerja asing lain di seluruh negara, mereka datang ke Malaysia dengan harapan mencari pekerjaan bagi menyediakan kehidupan yang lebih baik untuk keluarga di negara asal.

Walaupun perjalanan dari Lombok ke Pontianak mengambil masa kurang dari sehari, namun mereka terpaksa menghabiskan lebih 10 jam di jalan raya dari sana menuju ke Sibu, di mana perlu menukar kenderaan sebanyak dua kali.

Sebelumnya, mereka mengambil penerbangan selama satu jam setengah dari Lombok ke Jakarta, kemudian menaiki penerbangan lain dari ibu negara Indonesia itu ke Pontianak.

Sebaik tiba di lapangan terbang Pontianak, mereka dijemput menaiki van dan dibawa ke rumah penginapan di mana diberitahu untuk bersiap pada pukul 5.00 pagi keesokan harinya.

Sebelum matahari terbit lagi pemandu yang sama sudah tiba menjemput mereka untuk dibawa dari Pontianak sehingga Kuching – perjalanan itu mengambil masa kira-kira enam jam.

Di Kuching, mereka diturunkan di terminal bas.

“Ini kali pertama kami datang ke Sarawak,” kata Todi ketika ditemui MalaysiaNow di Kuching.

"Kami tidak tahu siapa pemandu van itu. Yang saya tahu dia dimaklumkan oleh pakcik saya yang tinggal di Sibu. Dia kawan pakcik saya."

Kini, dia dan Andi sedang menunggu seorang lagi individu yang akan membantu membawa mereka ke Sibu.

Ia adalah perjalanan yang panjang dan memenatkan, tempat tujuan mereka juga masih jauh.

Namun bagi Todi, perjalanan merentasi lautan itu jauh lebih baik daripada hidupnya di Indonesia ketika perintah berkurung dikuatkuasakan bagi membendung Covid-19.

Sebelum wabak itu melanda, dia mendapat hasil pendapatan sebagai pekerja di sebuah hotel selama lapan tahun. 

Pendapatannya di hotel itu tidak begitu banyak, ia hanya cukup untuk dia menabung sedikit simpanan.

Namun, apabila Covid-19 melanda, dia kehilangan pekerjaan, senasib dengan ramai lagi yang mengalami pengalaman serupa di seluruh dunia.

Sepanjang tempoh pandemik, dia mencari apa-apa kerja yang boleh dilakukan, mencari pendapatan dengan melakukan kerja-kerja buruh.

Bagaimanapun, hasilnya tidak cukup buat dia menyara keluarga. 

Apabila bapa saudaranya memberitahu bahawa dia boleh mendapat lebih banyak pendapatan di Malaysia, minat Todi mula timbul.

"Dia mengesyorkan saya ikut dia bekerja, dan saya terus setuju," katanya.

Todi dan Andi adalah antara ribuan pekerja Indonesia yang bersemangat untuk mencari kerja di Malaysia. 

Pergerakan mereka dihentikan pada pertengahan Julai apabila kerajaan Indonesia membekukan sementara penghantaran rakyatnya untuk bekerja di Malaysia. 

Keputusan itu dibuat dengan alasan kerajaan Malaysia melanggar perjanjian pengambilan pekerja yang ditandatangani dalam persefahaman antara kedua-dua negara.

Beberapa minggu kemudian, negara itu menarik balik sekatan tersebut selepas bersetuju untuk mengintegrasikan sistem sedia ada antara Jabatan Imigresen Malaysia dan kedutaan Indonesia di Kuala Lumpur bagi pengambilan pekerja domestik Indonesia.

Malaysia bergantung kepada jutaan pekerja asing dari negara seperti Indonesia, Bangladesh dan Nepal untuk bekerja di kilang dan dan kawasan perladangan.

Sebelumnya, pengambilan pekerja turut pernah dibekukan semasa pandemik Covid-19 berada di tahap kemuncak. 

Selepas wabak mulai mereda, kemasukan semula pekerja asing dilihat terlalu perlahan, sehingga menyebabkan sektor ekonomi menanggung masalah kekurangan buruh menyebabkan usaha pemulihan negara menjadi sukar.

Sama juga halnya di Indonesia, negara itu juga kini sedang memburu tenaga kerja di sektor ekonominya.

“Baru-baru ini, bekas majikan saya menghubungi saya, minta saya kembali bekerja di hotel,” kata Todi.

"Tetapi saya enggan kerana saya sudah membuat keputusan untuk bekerja di Malaysia. Nasib baik saya ada bapa saudara," tambahnya. 

"Dia membantu mengatur pekerjaan untuk kami."

Walaupun Todi yakin dengan rancangan bapa saudaranya, namun dia masih kabur dengan butiran kerjanya di negara ini.

Ketika ditanya mengenai permit pekerjaan, Todi berkata dia "tidak tahu" kerana bapa saudaranya melaksanakan semua urusan.

“Perjalanan saya dari Lombok ke Sibu, semuanya diatur oleh bapa saudara saya termasuk tiket penerbangan,” katanya.

"Saya masih tidak tahu pekerjaan apa yang menanti saya. Tetapi saya diberitahu bahawa mereka akan membantu menguruskan apa-apa urusan berkaitan kerja saya. 

“Perbelanjaan perjalanan saya akan dipotong daripada gaji saya nanti.”

Todi turut menegaskan dia tidak memilih jenis kerja yang akan dilakukannya.

“Apa sahaja jenis pekerjaan yang diberikan kepada saya, saya sanggup bekerja keras asalkan dapat memperoleh pendapatan lebih daripada yang saya dapat sebelum ini,” katanya.

Andi juga berkata dia tidak cerewet asalkan dapat memberikan kehidupan yang lebih baik untuk isteri dan anak perempuannya yang baru berusia tiga tahun di Indonesia.

“Yang utamanya, selagi saya boleh memperoleh gaji yang lebih baik dan pekerjaan yang setimpal,” katanya.

"Saya berazam untuk bekerja keras untuk keluarga."