- Iklan -
Berita

Pemimpin Bersatu kecam Zafrul selepas pegawai agensi kementerian berkongsi pentas dengan Zahid

Wan Saiful Wan Jan berkata menteri kewangan itu turut ‘bersubahat dalam menyucikan' imej Zahid.

Staff Writers
2 minit bacaan
Kongsi
Menteri Kwangan Tengku Zafrul Aziz (kiri) menerima surat lantikan sebagai bendahari Barisan Nasional Selangor sambil diiringi Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi. Gambar: Bernama
Menteri Kwangan Tengku Zafrul Aziz (kiri) menerima surat lantikan sebagai bendahari Barisan Nasional Selangor sambil diiringi Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi. Gambar: Bernama

Seorang pemimpin Bersatu hari ini mempersoalkan peranan Tengku Zafrul Aziz selepas dua agensi Kementerian Kewangan (MOF) menerima jemputan berkongsi pentas dengan Ahmad Zahid Hamidi, yang menghadapi pelbagai pertuduhan rasuah di mahkamah.

Wan Saiful Wan Jan merujuk kepada forum diadakan baru-baru ini berhubung dasar cukai di Putrajaya di mana ia dianjurkan oleh sebuah badan pemikir terpalit kontroversi pada tahun lalu kerana menjemput bekas perdana menteri Najib Razak yang disabitkan bersalah di mahkamah berucap di forum mengenai demokrasi.

Acara “Malaysia Tax Policy Forum" yang diadakan pada Isnin lalu turut menjemput Zahid untuk berucap pada majlis penutupannya.

Antara mereka yang dijemput berucap dalam forum itu termasuk Ketua Eksekutif Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) Mohd Nizom Sairi yang hadir memberi ucapan perasmian, dan Ketua Pengarah Kastam Zazuli Johan yang diwakili oleh pegawai kanannya, Roszita Dim.

Bagaimanapun, ucapan Zahid dibacakan oleh Setiausaha Agung Barisan Nasional Zambry Abdul Kadir.

"Siapa sangka Zafrul bersubahat dalam menyucikan imej Zahid Hamidi dengan cara membiarkan dua agensi di bawah MOF, iaitu LHDN dan Kastam, bercakap dalam majlis yang sama dengan Zahid Hamidi di 'Malaysia Tax Policy Forum'?" tanya Wan Saiful.

Zahid kini berdepan 47 pertuduhan jenayah pecah amanah, rasuah dan pengubahan wang haram membabitkan puluhan juta ringgit milik sebuah yayasan kebajikan.

Dalam pada itu, Wan Saiful juga mengkritik tindakan Zafrul yang baru-baru ini menyertai Umno di mana beliau dipuji oleh Zahid, selain turut mengingatkan bekas pegawai bank itu bahawa beliau dipilih mengetuai Kementerian Kewangan oleh bekas perdana menteri Muhyiddin Yassin kerana tidak terlibat dalam politik kepartian.

“Siapa sangka Zafrul boleh senyum gembira apabila Zahid  mengumumkan dia akan bawa ‘gula’ kepada Umno,” kata Wan Saiful merujuk kenyataan Zahid yang mengalu-alukan kemasukan Zafrul ke dalam Umno untuk kembali menawan Selangor.

Zafrul mengetuai CIMB Group sebelum dibawa masuk oleh Muhyiddin ke dalam pentadbiran kerajaan bagi mengetuai Kementerian Kewangan berikutan kejatuhan kerajaan Pakatan Harapan pada awal 2020.

Beliau terus memegang jawatan itu selepas Muhyiddin meletakkan jawatan pada Ogos tahun lalu.

Minggu lalu, beliau dilantik sebagai bendahari BN Selangor, di mana ia dilihat sebagai satu strategi dalam usaha Umno merampas kembali kerajaan negeri itu selepas kalah lebih sedekad lalu.

Wan Saiful juga turut menuduh Zafrul cuba untuk memberikan gambaran positif terhadap isu berkait 1MDB dan SRC International.

Beliau memetik kenyataan menteri kewangan itu di Dewan Rakyat bahawa hutang yang berkait 1MDB tidak mempunyai hubung kait secara lansung dengan hutang kerajaan.

"Wah... baru beberapa hari ambil jawatan parti, sudah beri spin positif nampaknya." katanya.