- Iklan -
Berita

Zafrul perlu berbaik dengan kluster mahkamah untuk jadi ‘poster boy’ BN Selangor

Penganalisis berkata Barisan Nasional mungkin mempunyai peluang menawan Selangor semula namun ia bergantung dengan beberapa faktor lain.

Ahmad Mustakim Zulkifli
2 minit bacaan
Kongsi
Menteri Kewangan Tengku Zafrul Aziz (kedua dari kanan) pada majlis penutup konvensyen Barisan Nasional di Shah Alam, di ma beliau diumumkan sebagai bendahari BN di Selangor. Gambar: Bernama
Menteri Kewangan Tengku Zafrul Aziz (kedua dari kanan) pada majlis penutup konvensyen Barisan Nasional di Shah Alam, di ma beliau diumumkan sebagai bendahari BN di Selangor. Gambar: Bernama

Kekalahan Barisan Nasional (BN) yang tidak dijangka di Selangor pada Pilihan Raya Umum (PRU) 2008 mengejutkan ramai pihak apabila pembangkang Pakatan Rakyat (PR) buat pertama kali mengambil alih negeri paling kaya dalam Malaysia itu.

Kemenangan PR yang diteruskan semasa pembentukan Pakatan Harapan (PH) kekal sehingga ke hari ini.

Selepas tiga penggal, BN kini menyasarkan semula usaha untuk mengambil Selangor daripada PH.

Keyakinan itu mungkin didasarkan atas keadaan PH yang dilihat lemah sejak akhir-akhir ini, dengan kekalahan teruk berturut-turut di PRN Melaka, Johor dan Sarawak.

Pemerhati politik sebelum ini berpendapat bahawa BN Selangor di bawah kendalian pengerusinya Noh Omar sukar untuk merampas negeri itu.

Kini gabungan itu menerima wajah baru apabila menamakan Menteri Kewangan, Tengku Zafrul Aziz sebagai bendahari BN Selangor.

Zafrul yang sebelum ini ahli Umno Lembah Pantai dijangka menjadi calon di kerusi Parlimen Kuala Selangor yang kini disandang oleh Dr Dzulkefly Ahmad dari Amanah.

Oh Ei Sun, felo kanan dari Singapore Institute of International Affairs berkata, BN dijangka bakal mempolemikkan isu banjir dan bekalan elektrik bagi menambat hati pengundi, selain mengeksploitasi isu kelemahan PKR selepas ketiadaan Mohamed Azmin Ali.

Katanya, idea membawa Zafrul ke Selangor ialah untuk membawa wajah yang lebih segar dan profesional.

Ini kerana BN menyasarkan pengundi bandar dan terpelajar di negeri tersebut.

"Saya fikir kepimpinan kanan Umno masih berbelah-bahagi sama ada untuk menamakan beliau calon menteri besar, kerana dia tidak berpihak kepada faksi arus perdana Umno," katanya kepada MalaysiaNow merujuk kepada kem Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi.

Katanya, Zafrul sebagai menteri kewangan perlu mempertahankan 1MDB atau bekas perdana menteri Najib Razak jika mahu diterima kumpulan kluster mahkamah.

Zafrul sebelum ini pernah menjawab dakwaan Najib mengenai hutang 1MDB.

Pada 2 Ogos lalu beliau memaklumkan kepada Parlimen kerajaan perlu membayar faedah 1MDB sebanyak 1.57 bilion pada 2022.

"Kelihatan Noh Omar agak melawan dengan kepimpinan tertinggi dalam Umno, namun akhirnya keputusan barisan calon negeri masih perlu diluluskan kepimpinan," tambahnya.

Wajah segar untuk BN

Penganalisis politik Ahmad Atory Hussain berkata, meskipun namanya masih baru sebagai ahli politik, Zafrul boleh dianggap sebagai calon “heavyweight” yang boleh dijadikan ayam tambatan, malah menggantikan Noh di Selangor.

"Pertimbangannya ialah kalau Tengku Zafrul mampu menguruskan kewangan negara sebagai menteri kerajaan persekutuan, masakan beliau tidak mampu mengurus sebuah negeri seperti Selangor?"

"Dalam suasana PKR tidak begitu memberangsangkan, ada peluang untuk BN bangkit dan merampas Selangor pada kali ini," katanya.

Atory merujuk kepada kelemahan pembangkang yang berpecah dan tidak mempunyai arah tuju, walaupun semua parti sudah diletakkan dalam “mood” PRU15.

Namun Atory berkata, kemenangan BN di Selangor ialah dengan syarat bergabung dengan PAS.

"Kalau BN bertanding solo, sukar BN hendak menang apatah lagi menawan Selangor, kecuali jika BN ada keajaiban," katanya.

Gabungan dengan PAS mungkin sudah terkubur apabila parti Islam itu memilih untuk bersama Bersatu dalam Perikatan Nasional (PN) untuk PRU15.