- Iklan -
Berita

Ambiga, bekas duta bidas kempen anti-rasuah Anwar sebagai ‘karut’ selepas Zahid dibebaskan

Mereka mempersoalkan laungan anti rasuah oleh pentadbiran Pakatan Harapan pimpinan Anwar Ibrahim.

Staff Writers
1 minit bacaan
Kongsi
Timbalan Perdana Menteri Ahmad Zahid Hamidi bersama Perdana Menteri Anwar Ibrahim pada Perhimpunan Agung Umno 2023 di Pusat Dagangan Dunia di Kuala Lumpur, 9 Jun. Gambar: Bernama
Timbalan Perdana Menteri Ahmad Zahid Hamidi bersama Perdana Menteri Anwar Ibrahim pada Perhimpunan Agung Umno 2023 di Pusat Dagangan Dunia di Kuala Lumpur, 9 Jun. Gambar: Bernama

Bekas presiden Majlis Peguam, Ambiga Sreenevasan hari ini mengecam keputusan melepas tanpa membebaskan (DNAA) Timbalan Perdana Menteri Ahmad Zahid Hamidi bagi 47 pertuduhan rasuah membabitkan Yayasan Akalbudi, mengatakan penjelasan perlu diberikan kepada rakyat. 

"Pembaziran dana awam dalam membuktikan kes prima facie dan pembaziran semua kerja keras oleh anggota Jabatan Peguam Negara," katanya dalam ciapan di Twitter. 

"Dan saya harap tiada ahli politik UG berani untuk mewajarjan perkara ini atau sekali lagi mengatakan mereka anti rasuah," tambahnya, merujuk kepada singkatan kerajaan perpaduan yang digunakan oleh pentadbiran Anwar Ibrahim. 

DNAA itu diberikan selepas Jabatan Peguam Negara memutuskan untuk menghentikan kes terhadap Zahid.

Pihak pendakwaan memohon DNAA awal hari ini, manakala pasukan pembelaan Zahid berhujah untuk pembebasan penuh pertuduhan terhadapnya. 

Zahid berdepan 12 pertuduhan pecah amanah (CBT), lapan rasuah, dan 27 pengubahan wang haram membabitkan puluhan juta ringgit milik Yayasan Akalbudi. 

Antara pertuduhan CBT ialah beliau didakwa menjelaskan hutang kad kreditnya menggunakan Yayasan Akalbudi melalui 44 keping cek berjumlah kira-kira RM1.3 juta antara Januari 2013 dan Disember 2016.

Sementara itu bekas duta Dennis Ignatius berkata bahawa DNAA tidak mengejutkan.

“Itulah rancangan selama ini; harga yang Anwar rela bayar untuk menjadi perdana menteri.

"Semua cerita karut tentang anti-rasuah dan kerajaan yang baik itu hanyalah untuk rakyat yang mudah tertipu di luar sana yang masih percaya kepada reformasi," katanya di Twitter. 

Anwar mengangkat sumpah sebagai perdana menteri atas sokongan daripada Zahid dan 30 ahli Parlimen daripada Barisan Nasional, susulan pilihan raya umum tahun lepas yang mengakibatkan Parlimen tergantung.