- Iklan -
Berita

Rujuk RUU kawalan merokok kepada jawatankuasa pilihan khas, kata Anwar

Langkah itu bagi meneliti isu keperlembagaan penguatkuasaan serta perkara berkaitan pelaksanaan kawalan produk tembakau dan merokok.

Bernama
2 minit bacaan
Kongsi
Ahli Parlimen Port Dickson Anwar Ibrahim. Gambar: Bernama
Ahli Parlimen Port Dickson Anwar Ibrahim. Gambar: Bernama

Ketua Pembangkang Anwar Ibrahim mencadangkan agar kerajaan merujuk Rang Undang-Undang Kawalan Produk Tembakau dan Merokok 2022 kepada jawatankuasa pilihan khas Parlimen (PSC).

Ahli Parlimen Port Dickson itu berkata cadangan tersebut dikemukakan melalui surat kepada Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob selaku ketua Majlis Dewan Rakyat petang semalam.

“Saya juga telah menghantar usul di bawah Peraturan Mesyuarat 54(1) dan 54(2) kepada Yang di-Pertua Dewan Rakyat (Azhar Azizan Harun) berkaitan perkara ini,” katanya dalam hantaran di laman Facebook hari ini.

Dalam usul kepada Azhar, Anwar berkata RUU itu perlu dirujuk kepada PSC antaranya bagi meneliti dan memberi pengkhususan ke atas isu keperlembagaan penguatkuasaan serta perkara berkaitan pelaksanaan kawalan produk tembakau dan merokok.

“Keanggotaan jawatankuasa pilihan Parlimen ini dicadangkan terdiri daripada sejumlah ahli Dewan Rakyat yang mewakili semua parti dan diketuai oleh YB Menteri Kesihatan.

“Bagi tujuan tersebut di atas, jawatankuasa pilihan khas boleh menjemput mana-mana pihak seperti ahli-ahli Parlimen, pakar-pakar perundangan dan perlembagaan, badan-badan bukan berkepentingan iaitu NGO dan masyarakat madani, masyarakat sivil serta individu-individu lain untuk hadir dalam persidangan,” katanya.

Semasa sesi perbahasan rang undang-undang itu, dua ahli Parlimen senada dengan Anwar supaya ia dirujuk kepada PSC terlebih dahulu.

Dr Kelvin Yii (PH-Bandar Kuching), yang juga pengerusi Jawatankuasa Pilihan Khas Kesihatan, Sains dan Inovasi, berkata pihaknya bersetuju secara prinsip dengan rang undang-undang itu namun berpendapat pelaksanaannya perlu diteliti dari pelbagai sudut selain kesihatan awam.

Mohamed Nazri Abdul Aziz (BN-Padang Rengas) pula berkata beliau bersetuju dengan cadangan merujuk RUU itu kepada PSC bagi memperhalusi dan mempertimbang aspek lain termasuk perundangan sebelum diluluskan. 

RUU itu, yang dibentang bagi bacaan kali kedua oleh Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin di Dewan Rakyat semalam, antara lain menggubal peruntukan generasi penamat (GEG) bagi melindungi golongan muda Malaysia daripada terjebak dengan tabiat merokok.

Khairy dijangka menggulung rang undang-undang itu untuk diundi semasa perbahasan disambung usai sesi soal jawab hari ini.