- Iklan -
Berita

Pembelaan minta saksi kemuka maklumat pendapatan, elaun Shahrir sejak 1978

Menurut peguam, dokumen tersebut penting bagi menyokong pembelaan bahawa RM1 juta yang diterima bekas pengerusi Felda itu bukan pendapatan yang dikenakan cukai.

Bernama
2 minit bacaan
Kongsi
Bekas pengerusi Felda Shahrir Samad di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur. Gambar: Bernama
Bekas pengerusi Felda Shahrir Samad di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur. Gambar: Bernama

Pihak pembelaan hari ini meminta seorang saksi pendakwaan mengemukakan fail yang mengandungi maklumat pendapatan dan elaun Shahrir Samad sebagai ahli Parlimen sejak 1978 dalam perbicaraan kes bekas pengerusi Felda itu.

Peguam Firoz Hussein Ahmad Jamaluddin yang mewakili Shahrir berkata dokumen tersebut diperlukan bagi menyokong pihak pembelaan bahawa RM1 juta yang didakwa diterima anak guamnya pada 2013 bukan pendapatan yang dikenakan cukai.

“Pendapatan Shahrir sangat relevan. Dia menghadapi pertuduhan di bawah Amla (Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram) yang kesalahan predikat berkaitan dengan Seksyen 113 Akta Cukai Pendapatan, yang pendiriannya adalah tidak ada pengisytiharan pendapatan kerana RM1 juta adalah pembayaran balik dana amanah berhubung dengan wang peribadi.

“Oleh itu, seseorang itu perlu memastikan dia telah meletakkan wang peribadinya dahulu untuk menerima bayaran balik,” katanya pada perbicaraan kes bekas ahli Parlimen Johor Bahru itu yang berdepan tuduhan gagal mengisytiharkan RM1 juta yang diterima daripada Najib Razak kepada Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN).

Menurut peguam itu, sekiranya dokumen tersebut tidak relevan, pihak pendakwaan tidak akan memanggil saksi pertama iaitu penolong pegawai tadbir tinggi, Bahagian Hal Ehwal Ahli Parlimen, Rosli Mat Jinun untuk memberikan keterangan bagi membuktikan pertuduhan terhadap Shahrir.

Timbalan pendakwa raya Mohd ‘Afif Ali membantah permohonan pihak pembelaan itu atas alasan bahawa dokumen tersebut tidak mempunyai kaitan dengan pertuduhan pengubahan wang haram.

Peguam Dzulkifli Ahmad kemudian menyoal Rosli sama ada dia bersetuju untuk mengemukakan fail tersebut pada prosiding akan datang, Rosli menjawab: “Setuju”.

Dzulkifli: Dokumen ditunjukkan menerusi fail?

Rosli: Fail biasa.

Shahrir, 72, didakwa melibatkan diri dalam pengubahan wang haram dengan tidak melaporkan pendapatan sebenar dalam borang cukai pendapatan yang bertentangan dengan Seksyen 113 (1) (a) Akta Cukai Pendapatan 1967, iaitu tidak mengisytiharkan pendapatan diterima daripada Najib berjumlah RM1 juta melalui sekeping cek yang kemudiannya dimasukkan ke dalam akaun bank milik tertuduh.

Beliau didakwa melakukan perbuatan itu di LHDN, Cawangan Duta, Kompleks Pejabat Kerajaan, Jalan Tuanku Abdul Halim di sini, pada 25 April 2014.

Pertuduhan mengikut Seksyen 4 (1) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan 2001 yang membawa hukuman denda tidak melebihi RM5 juta atau penjara maksimum lima tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Perbicaraan di hadapan hakim Muhammad Jamil Hussin bersambung 8 Ogos ini.