- Iklan -
Berita

Adun Bersatu kemuka 8 soalan berkait tuntutan Sulu kepada Tommy Thomas

Dr Afif Bahardin berkata Tommy Thomas gagal menjawab kebimbangan utama dalam kenyataan panjangnya semalam.

Staff Writers
3 minit bacaan
Kongsi
Hakim timbang tara Sepanyol Gonzalo Stampa (kiri) merujuk surat bekas peguam negara Tommy Thomas dalam mewajarkan penghakimannya yang memihak kepada waris sultan Sulu di mana mereka dianugerahkan AS$14.92 bilion.
Hakim timbang tara Sepanyol Gonzalo Stampa (kiri) merujuk surat bekas peguam negara Tommy Thomas dalam mewajarkan penghakimannya yang memihak kepada waris sultan Sulu di mana mereka dianugerahkan AS$14.92 bilion.

Seorang pemimpin Bersatu mengemukakan beberapa soalan kepada Tommy Thomas berhubung caranya mengendalikan tuntutan membabitkan kumpulan yang mendakwa pewaris kesultanan Sulu, selepas penjelasan panjang lebar bekas peguam negara itu semalam yang mempertahankan suratnya pada 2019 selari dengan undang-undang.

Ahli Dewan Undangan Negeri Seberang Jaya Dr Afif Bahardin berkata Thomas gagal menjawab persoalan utama seputar surat itu, termasuk mengapa beliau memberikan surat itu kepada penimbang tara Gonzalo Stampa walaupun Malaysia membantah pelantikan peguam Sepanyol itu untuk mengadili kes itu.

"Mengapa berikan senjata yang ampuh di tangan musuh, yang mereka gunakan dengan senang hati terhadap kita?" soal Afif dalam lapan soalannya kepada Thomas.

Thomas, yang berkhidmat sebagai peguam negara ketika pentadbiran Pakatan Harapan (PH), mendapat kecaman pelbagai pihak berhubung surat 2019 yang ditulisnya kepada peguam lapan individu Sulu, di mana beliau menyatakan kekesalan kerana kerajaan Malaysia menghentikan bayaran pampasan tahunan kepada mereka berikutan pencerobohan Sulu di Lahad Datu pada 2013.

Thomas kemudian menawarkan untuk menyambung semula pembayaran tunggakan kira-kira RM48,000 serta faedah, sebagai pertukaran supaya kumpulan Sulu itu menghentikan proses timbang tara.

Kandungan surat itu dipetik berulang kali dalam keputusan hakim timbang tara Stampa yang memberikan anugerah besar kepada kumpulan Sulu awal tahun ini, menyebabkan ramai yang menuduh tindakan Thomas itu mengancam kehilangan berbilion dolar aset Malaysia jika keputusan timbang tara dibenarkan dilaksanakan luar negara.

‘Kenyataan panjang yang sukar difahami’

Afif berkata Thomas mengelak isu sebenar dalam “kenyataannya yang panjang dan sukar difahami”.

Antara lain, beliau menyoal mengapa Thomas mengenepikan sebutan "tanpa prejudis" dalam surat itu, sehingga menyebabkan ia diterima dalam perbicaraan timbang tara bagi menyokong tuntutan kumpulan Sulu.

Beliau turut mempersoalkan keputusan untuk tidak menyertai prosiding itu bagi membolehkan Malaysia mencabar bidang kuasa Stampa.

"Thomas mengemukakan duluan di mana Pakistan tidak mencabar timbang tara pada 2011. Ini adalah alasan lemah dan tidak munasabah untuk tidak memperjuangkan Malaysia dalam timbang tara Stampa sejak hari pertama," tambah Afif.

Beliau seterusnya berkata kekesalan Thomas terhadap ketidakmampuan Malaysia membayar kepada kumpulan Sulu juga "mengakui liabiliti atau tindakan salah oleh Malaysia".

"Mengapa Thomas tidak menyatakan proses timbang tara penuntut Sulu di Sepanyol adalah satu pelanggaran berat terhadap kedaulatan Malaysia?

"Mengapa dalam suratnya, Thomas menyatakan fakta menyokong kesimpulan bahawa kesultanan Sulu tidak pernah melepaskan diri daripada kedaulatan ke atas Sabah?" soal Afif.

Afif berkata Thomas perlu menjelaskan sama ada beliau berunding atau tidak dengan perdana menteri atau Kabinet pada masa itu sebelum mengeluarkan suratnya.

"Anugerah Stampa adalah besar, dan Malaysia kini perlu bekerja keras untuk menghalang penguatkuasaannya terhadap aset negara di seluruh dunia. Tommy Thomas tidak boleh berdiam diri atau mengeluarkan kenyataan yang mengelak daripada soalan sebenar. Soalan-soalan yang penting ini memerlukan jawapan," kata Afif.

Lapan individu Sulu itu memetik perjanjian yang dimeterai antara kesultanan Sulu yang kini tidak lagi wujud dan kerajaan penjajah Britain pada 1878, di mana sultan menyerahkan kedaulatannya ke atas beberapa wilayah yang terletak di Borneo Utara, yang kini dikenali sebagai Sabah, dan sebagai balasannya ia dibayar pampasan tahunan.

Pada Februari, Stampa dalam keputusan timbang taranya di mahkamah Perancis menganugerahkan penuntut Sulu AS$14.92 bilion (RM60 bilion) termasuk faedah dan kos.

Awal bulan ini, peguam kumpulan itu memohon untuk melaksanakan anugerah itu dengan menyampaikan notis rampasan aset ke atas dua anak syarikat Petronas di Luxembourg.

Bagaimanapun, Putrajaya berjaya mendapat perintah penangguhan daripada Mahkamah Timbang Tara Paris untuk menghentikan pelaksanaan anugerah itu, dan sebagai respons, peguam kumpulan itu mengancam untuk menyasarkan aset luar negara Malaysia yang lain.