- Iklan -
Berita

Dikecam hebat, Tommy Thomas tegaskan tawaran kepada kumpulan Sulu ikut undang-undang

Bekas peguam negara itu menjelaskan mengapa beliau menawarkan untuk kembali membayar pampasan yang dihentikan selepas pencerobohan Sulu di Lahad Datu.

Staff Writers
2 minit bacaan
Kongsi
Surat bekas peguam negara Tommy Thomas bertarikh 19 September 2019 menyatakan kekesalan berhubung keengganan kerajaan Malaysia untuk membayar pampasan tahunan kepada waris sultan Sulu. Gambar: AFP
Surat bekas peguam negara Tommy Thomas bertarikh 19 September 2019 menyatakan kekesalan berhubung keengganan kerajaan Malaysia untuk membayar pampasan tahunan kepada waris sultan Sulu. Gambar: AFP

Bekas peguam negara Tommy Thomas mempertahankan jawapan yang diberikannya kepada sekumpulan individu yang mendakwa mereka adalah pewaris kesultanan Sulu yang kini tidak lagi wujud, mengatakan kumpulan itu berhak dari segi undang-undang untuk menerima bayaran pampasan yang ditawarkannya kepada mereka.

Thomas, yang menerima kecaman hebat berhubung surat dihantarnya pada 2019 kepada peguam kumpulan yang baru-baru ini dianugerahkan berbilion dolar oleh Mahkamah Timbang Tara di Paris, mengatakan kerajaan Malaysia tidak pernah mempersoalkan pampasan tahunan sebanyak RM5,300 kepada waris sultan Sulu sehingga 2013, di mana Putrajaya kemudiannya menghentikan pembayaran berikutan pencerobohan bersenjata Sulu di Lahad Datu, Sabah.

Dalam suratnya, Thomas menawarkan untuk kembali membuat pembayaran sebanyak kira-kira RM48,000 yang tertunggak termasuk faedah, sebagai pertukaran supaya penuntut Sulu menghentikan proses timbang tara.

“(Bayaran itu) selari dengan undang-undang mewakili kerugian yang mereka tanggung dalam tempoh tujuh tahun," katanya dalam satu kenyataan panjang hari ini, selepas beberapa minggu membisu berhubung isu kandungat surat tersebut di mana ia dipetik beberapa kali oleh hakim timbang tara ketika mewajarkan keputusannya memberikan anugerah kepada kumpulan Sulu.

Thomas berkata kerajaan Malaysia terkhilaf kerana tidak menjelaskan secara rasmi keputusannya pada 2013 untuk menghentikan pembayaran sejak sebelum merdeka itu.

Beliau seterusnya berkata jika keputusan tersebut adalah untuk menghukum mereka atas serangan Sulu ke atas Sabah, namun tiada bukti penerima bayaran tahunan tersebut terlibat dalam serangan itu.

Beliau berkata kerajaan sepatutnya mengemukakan bukti terlebih dahulu berhubung penglibatan kumpulan Sulu dan memohon perintah mahkamah untuk menghentikan bayaran itu.

"Bagaimanapun, nampaknya tiada bukti yang boleh mengaitkan pihak penuntut Sulu yang menerima bayaran pampasan tahunan dari Malaysia dengan penceroboh bersenjata di Lahad Datu," tambah Thomas.

Beliau berkata selepas pembentukan Malaysia, kerajaan sepatutnya menamatkan pembayaran tersebut kerana ia adalah bayaran pampasan yang dipersetujui antara penjajah British dan sultan Sulu, di mana ia tidak mengikat kerajaan Malaysia.

Thomas turut berkata kerajaan Malaysia yang meneruskan pembayaran "tanpa teragak-agak atau bantahan”, beliau berkata ia menunjukkan Malaysia memperakui "kewajipan undang-undangnya”.

"Pembayaran disambung oleh Malaysia selama 50 tahun adalah kukuh - dan sememangnya tidak dapat dipertikaikan - ia menjadi bukti kerajaan Malaysia menggantikan kerajaan British, dan dihalang daripada melakukan sebaliknya.

“Maka sepanjang setengah abad itu, kewajipan undang-undang Malaysia untuk membayar pampasan tahunan kepada pihak penuntut Sulu tidak pernah dipersoalkan oleh kerajaan Malaysia," tambahnya.

Thomas menjadi sasaran kecaman pelbagai pihak berhubung suratnya, yang dilihat menjadi punca keputusan timbang tara antarabangsa itu diambil di mana ia kini mengancam rampasan berbilion aset Malaysia di luar negara.

Lapan individu Sulu memetik perjanjian yang dimeterai pada 1878 antara sultan Sulu ketika itu dan kerajaan penjajah Britain, di mana sultan menyerahkan kedaulatannya ke atas beberapa wilayah yang terletak di Borneo Utara, yang kini dikenali sebagai Sabah.

Dalam keputusan timbang tara yang diumumkan oleh mahkamah Perancis pada Februari lalu, penuntut Sulu dianugerahkan AS$14.92 bilion (RM60 bilion) termasuk faedah dan kos.

Awal bulan ini, peguam kumpulan itu memohon untuk melaksanakan anugerah itu dengan menyampaikan notis rampasan aset ke atas dua anak syarikat Petronas di Luxembourg.

Bagaimanapun, Putrajaya berjaya mendapat perintah penangguhan daripada Mahkamah Timbang Tara Paris untuk menghentikan pelaksanaan anugerah itu, dan sebagai respons, peguam kumpulan itu mengancam untuk menyasarkan aset luar negara Malaysia yang lain.