- Iklan -
Berita

Najib tukar peguam saat akhir menjelang rayuan kes penyelewengan dana SRC

Bekas perdana menteri itu menggugurkan Muhammad Shafee Abdullah sebagai peguamnya dan melantik Zaid Ibrahim sebagai penggantinya.

Staff Writers
2 minit bacaan
Kongsi
Bekas perdana menteri Najib Razak dan peguamnya, Muhammad Shafee Abdullah. Gambar: Bernama
Bekas perdana menteri Najib Razak dan peguamnya, Muhammad Shafee Abdullah. Gambar: Bernama

Bekas perdana menteri Najib Razak membuat pertukaran peguam bagi mewakili beliau menjelang rayuan akhirnya terhadap sabitan dan hukuman bagi pertuduhan menyelewengkan RM42 juta dana SRC International.

Tindakan Najib menggantikan peguam utamanya, Muhammad Shafee Abdullah, diambil selepas Mahkamah Tinggi menolak permohonan Peguam Diraja UK Jonathan Laidlaw untuk mewakili bekas perdana menteri itu dalam rayuannya.

Firma guaman Shafee Shafee & Co berkata dalam suratnya kepada Mahkamah Persekutuan bahawa Najib menggugurkan beliau daripada mewakilinya dalam kes tersebut, lapor Malay Mail.

"Melalui surat yang sama, perayu memaklumkan beliau melantik Tetuan Zaid Ibrahim Suffian, TH Liew & Partners sebagai peguam," tambahnya dalam surat yang dipetik dalam laporan itu.

Mahkamah Persekutuan menetapkan 10 hari pada Ogos untuk mendengar rayuan Najib terhadap sabitan dan hukuman penjaranya bagi kes penyelewengan dana syarikat tersebut.

Najib disabitkan hukuman pada 2020 bagi kesalahan jenayah pecah amanah, salah guna kuasa dan pengubahan wang haram dalam penyelewengan RM42 juta dana SRC International.

Dalam penghakiman tersebut, beliau dijatuhi hukuman penjara selama 12 tahun dan denda RM210 juta, ia kemudiannya dikekalkan oleh tiga hakim Mahkamah Rayuan secara sebulat suara pada Disember tahun lalu.

Ketika menolak rayuan Najib, hakim Mahkamah Rayuan menyifatkan pemindahan RM42 juta dari SRC International ke dalam akaun peribadinya sebagai perbuatan yang “memalukan negara".

Pada 31 Mei, Najib memfailkan permohonan untuk membenarkan Laidlaw mewakilinya dalam rayuan sabitannya atas beberapa alasan, termasuk kelayakan, pengalaman dan kepakaran khasnya yang tidak terdapat dalam kalangan peguam di Malaysia.

Bagaimanapun, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur berkata Laidlaw gagal menunjukkan beliau mempunyai kelayakan dan pengalaman bagi mengendalikan pertuduhan terhadap Najib.

Hakim juga berkata Laidlaw juga gagal menunjukkan peguam tempatan tidak mempunyai keupayaan atau kelayakan khas bagi mengendalikan rayuan tersebut.