- Iklan -
Berita

Jawatankuasa pilihan khas akan mulakan prosiding isu tuntutan Sulu

Pengerusinya Salahuddin Ayub berkata prosiding berhubung isu itu wajar dimulakan selepas beberapa usul yang dikemukakan oleh ahli Parlimen.

Bernama
1 minit bacaan
Kongsi
Pengerusi Jawatankuasa Pilihan Khas Hal Ehwal Antarabangsa. Gambar: Bernama
Pengerusi Jawatankuasa Pilihan Khas Hal Ehwal Antarabangsa. Gambar: Bernama

Jawatankuasa Pilihan Khas Hal Ehwal Antarabangsa akan memulakan prosiding berhubung isu tuntutan kumpulan Sulu ke atas aset-aset negara pada 11 Ogos, selaras dengan Peraturan Mesyuarat 83(4) Peraturan-peraturan Majlis Mesyuarat Dewan Rakyat.

Pengerusinya Salahuddin Ayub (PH-Pulai) berkata prosiding berhubung isu itu wajar dimulakan selepas beberapa usul yang dikemukakan beberapa ahli Parlimen menurut Peraturan Mesyuarat 18(1) dan (2) ditolak untuk dibahas dalam Dewan Rakyat.

"Maka jawatankuasa ini telah berbincang dan berpandangan bahawa tuntutan itu (kumpulan Sulu) adalah isu yang sangat serius dan sekiranya tidak ditangani dengan baik berpotensi menjejaskan kepentingan negara. 

"Sehubungan itu jawatankuasa ini mengambil keputusan, selaras peranannya seperti ditetapkan oleh Dewan Rakyat untuk menjalankan peranan semak dan imbang terhadap tindakan kerajaan serta memartabatkan institusi demokrasi berparlimen," katanya pada sidang media di Bangunan Parlimen hari ini.

Beliau berkata sebagai permulaan, Menteri Luar Saifuddin Abdullah dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Undang-undang dan Parlimen) Wan Junaidi Tuanku Jaafar dipanggil bagi menghadiri prosiding itu. 

Jawatankuasa itu turut dianggotai Mohamed Nazri Abdul Aziz (BN-Padang Rengas), Azizah Mohd Dun (Bersatu-Beaufort), Abdullah Mat Nawi (PAS-Tumpat), Tiong King Sing (GPS-Bintulu), Sim Tze Tzin (PH-Bayan Baru), Kasthuriraani Patto (PH-Batu Kawan) dan Awang Husaini Sahari (PH-Putatan). 

- Iklan -

Paling Popular

Tiada artikel ditemui.