- Iklan -
Berita

Anggota polis Perak dikesan terbabit penyalahgunaan dadah, kata ketua polis negeri

Mior Faridalathrash Wahid berkata perbuatan tersebut dikesan apabila beberapa anggota didapati gagal dalam ujian awal saringan air kencing yang dilakukan secara mengejut.

Bernama
2 minit bacaan
Kongsi
Ketua Polis Perak Mior Faridalathrash Wahid. Gambar: Bernama
Ketua Polis Perak Mior Faridalathrash Wahid. Gambar: Bernama

Beberapa anggota polis di Perak dikesan terbabit dengan penyalahgunaan dadah walaupun ada antara mereka pernah ditahan sebelum ini atas kesalahan tersebut, kata Ketua Polis Perak Mior Faridalathrash Wahid.

Katanya, perbuatan tersebut dikesan apabila beberapa anggota didapati gagal dalam ujian awal saringan air kencing yang dilakukan secara mengejut.

"Kita akan mengambil tindakan tegas  kerana ada antara mereka yang pernah  gagal (positif dadah) dan pernah dituduh di mahkamah tetapi mahkamah telah membebaskan mereka," katanya tanpa mendedahkan jumlah sebenar anggota tersebut.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Kempen Anti-Scam Polis Diraja Malaysia (PDRM) 2022 Peringkat Kontinjen Perak yang turut dihadiri legenda rock negara Awie atau nama sebenarnya Ahmad Azhar Othman di sebuah pasar raya semalam.

Mengulas lanjut, Faridalathrash berkata mereka yang ditahan disiasat di bawah Akta Dadah Berbahaya 1952 dan berdepan tindakan tatatertib di bawah Peraturan-Peraturan Pegawai Awam (Kelakuan dan Tatatertib) 1993.

Difahamkan, beberapa anggota gagal  dalam ujian awal saringan air kencing yang dilakukan secara mengejut semasa latihan dalam perkhidmatan di ibu pejabat polis (IPD) Ipoh.

Terdahulu, Faridalathrash, dalam ucapannya, berkata berdasarkan statistik, kes jenayah penipuan dalam talian mencatatkan jumlah kes lebih tinggi berbanding jenayah komersial yang lain.

Beliau berkata secara keseluruhan sejumlah 1,094 kes jenayah komersial direkodkan sepanjang enam bulan pertama tahun ini manakala sebanyak 2,021 kes direkodkan pada tahun lepas dan sejumlah 1,919 kes dicatatkan pada tahun 2020.

Menurut beliau dalam usaha untuk mengekang peningkatan jumlah kes tersebut, Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) telah mengambil pelbagai tindakan penguatkuasan, pembanterasan dan pencegahan. 

Beliau berkata pelbagai aktiviti dan program diadakan pada kempen Anti-Scam PDRM 2022 dengan  JSJK mempromosikan penggunaan CCID Scam Response Center, CCID Infoline dan portal https://semakmule.rmp.gov.my.