- Iklan -
Berita

Sabah akan rayu persekutuan tidak tangguh projek belum mula, kata Hajiji

Menurut ketua menterinya, Sabah memerlukan peruntukan besar untuk membangunkan negeri terutama melibatkan pembangunan infrastruktur awam.

Bernama
2 minit bacaan
Kongsi
Ketua Menteri Sabah Hajiji Noor. Gambar: Bernama
Ketua Menteri Sabah Hajiji Noor. Gambar: Bernama

Kerajaan Sabah akan membuat rayuan sekiranya kerajaan persekutuan mahu menangguh atau tidak meneruskan mana-mana projek belum bermula terutama melibatkan projek pembangunan, persidangan Dewan Undangan Negeri Sabah diberitahu hari ini.

Ketua Menteri Hajiji Noor berkata ini kerana Sabah pada masa ini memerlukan peruntukan yang besar untuk membangunkan negeri terutama melibatkan pembangunan infrastruktur awam bagi memberi keselesaan kepada rakyat.

Beliau berkata kerajaan persekutuan ketika ini tidak memaklumkan secara rasmi kepada kerajaan negeri tentang penangguhan atau tidak meneruskan mana-mana projek pembangunan, namun beliau memberi jaminan akan membuat rayuan sedaya upaya bagi memastikan projek itu diteruskan apabila makluman berkenaan diterima.

"Ini amat penting kerana kita pun selalu nyatakan peruntukan diberikan tidak cukup, kalau tidak cukup tarik atau tangguh balik (peruntukan) ini tidak berapa sesuailah di Sabah, kita akan merayu jika sudah sampai (diberitahu secara rasmi)," katanya hari ini.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan Salleh Said Keruak (BN-Usukan) mengenai laporan mengatakan kerajaan persekutuan akan menangguhkan atau tidak meneruskan mana-mana projek yang belum bermula sebagai langkah penjimatan perbelanjaan awam.

Semalam, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi) Mustapa Mohamed dilaporkan berkata langkah itu merupakan sebuah penjimatan perbelanjaan awam bagi membolehkan dana disalurkan untuk kesejahteraan rakyat dan usaha memulihkan ekonomi negara.

Sementara itu, menjawab soalan asal Rubin Balang (Bebas-Kemabong) yang bertanya tentang pendekatan kerajaan negeri untuk meningkatkan ekonomi rakyat serta negeri, Hajiji berkata pelbagai usaha dilakukan untuk menarik pelancong bagi meningkatkan ekonomi telah membuahkan hasil.

Beliau berkata Sabah menerima peningkatkan kemasukan pelancongan yang ketara untuk tempoh lima bulan pertama tahun ini iaitu 558,169 orang berbanding 102,965 orang dalam tempoh sama tahun lepas.

“Ini menunjukkan kadar peningkatan jumlah pelancong sebanyak 442%. Saya yakin, angka ini akan meningkat lagi menjelang hujung tahun ini berikutan pembukaan pintu masuk darat, laut dan udara.

“Dengan kehadiran pelancong ini sudah tentu sektor perkhidmatan dan yang terkait seperti hotel, pengangkutan dan makanan akan cepat pulih seperti biasa. Ini juga membuktikan keberkesanan pendekatan kerajaan negeri memulihkan ekonomi menerusi Pelan Pembangunan Sabah Maju Jaya,” katanya.