- Iklan -
Berita

Mahkamah Paris benar permohonan Malaysia gantung tuntutan AS$15 bilion waris sultan Sulu

Menteri Undang-Undang Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata Malaysia sedang membuat persiapan rapi untuk pendengaran bagi pembatalan keputusan mahkamah mengenai 'Final Award' tersebut.

Bernama
2 minit bacaan
Kongsi
Malaysia tidak mengiktiraf individu yang mendakwa mempunyai hak ke atas Sabah yang merupakan sebahagian dari wilayahnya. Gambar: Bernama
Malaysia tidak mengiktiraf individu yang mendakwa mempunyai hak ke atas Sabah yang merupakan sebahagian dari wilayahnya. Gambar: Bernama

Mahkamah Rayuan Paris semalam membenarkan permohonan kerajaan Malaysia untuk menggantung penguatkuasaan Final Award bagi tuntutan pihak yang mendakwa sebagai waris dan "successors-in-interest" kepada Sultan Jamalul Kiram II.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang) Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata asas keputusan Mahkamah Rayuan Paris ialah "Final Award" bertarikh 28 Februari 2022 yang dikeluarkan penimbang tara Gonzalo Stampa melalui prosiding timbang tara antarabangsa di Madrid, Sepanyol itu akan menjejaskan kekebalan kedaulatan Malaysia.

“Perintah penggantungan itu adalah hasil daripada pelbagai tindakan perundangan yang diambil oleh kerajaan Malaysia bermula dari tuntutan tersebut difailkan bagi menamatkan segala tuntutan dan memastikan agar kepentingan, kekebalan kedaulatan serta kedaulatan Malaysia sentiasa dilindungi dan terpelihara.

“Oleh itu, kesan daripada perintah penggantungan yang dikeluarkan oleh Mahkamah Rayuan Paris pada 12 Julai 2022 tersebut, Final Award tidak boleh dikuatkuasakan di mana-mana negara sehingga keputusan muktamad oleh Mahkamah Paris berkenaan dengan permohonan pembatalan Final Award yang dibuat oleh kerajaan Malaysia,” menurutnya dalam sebuah kenyataan.

Berikutan kejayaan memperoleh perintah penggantungan itu, kerajaan Malaysia sedang membuat persiapan rapi untuk pendengaran bagi pembatalan "Final Award" dan tarikhnya belum ditetapkan.

Wan Junaidi berkata kerajaan Malaysia akan terus mengambil semua langkah sewajarnya termasuk tindakan perundangan untuk menamatkan segala tuntutan itu dan memastikan kepentingan, kekebalan kedaulatan serta kedaulatan negara sentiasa dilindungi dan terpelihara.

Beliau berkata kerajaan Malaysia menegaskan bahawa ia tidak pernah mengiktiraf tuntutan itu dan tidak pernah mengenepikan kekebalan kedaulatannya sebagai sebuah negara berdaulat.

Semalam, Akhbar Financial Times melaporkan aset dua anak syarikat Petronas di Azerbaijan dirampas oleh waris Kesultanan Sulu yang menuntut AS$14.92 bilion (RM62.59 bilion) dari Malaysia.

Peguam pihak yang menuntut dilaporkan merampas aset terbabit yang didaftarkan di Luxembourg iaitu Petronas Azerbaijan (Shah Deniz) dan Petronas South Caucasus, dengan nilai dilaporkan mencecah lebih AS$2 bilion (RM8.8 bilion).

Wan Junaidi berkata pada 11 Julai lepas, dua anak syarikat Petronas di Luxembourg telah dimaklumkan mengenai penguatkuasaan "Final Award" melalui penyerahan notis yang dikeluarkan oleh Mahkamah Luxembourg.

Beliau berkata Petronas, sebagai sebuah syarikat, akan mengambil tindakan perundangan untuk mempertahan kedudukannya di bawah undang-undang.