- Iklan -
Berita

Cadangan logo baru PN elak kekeliruan dengan BN, kata PAS

Timbalan Presiden PAS Tuan Ibrahim Tuan Man berkata mereka mendapati sebahagian penyokong keliru dengan warna logo kedua-dua gabungan itu pada Pilihan Raya Negeri Melaka dan Johor.

Bernama
1 minit bacaan
Kongsi
Bendera Barisan Nasional dan Perikatan Nasional di Pantai Puteri ketika kempen Pilihan Raya Negeri Melaka tahun lalu.
Bendera Barisan Nasional dan Perikatan Nasional di Pantai Puteri ketika kempen Pilihan Raya Negeri Melaka tahun lalu.

Cadangan Perikatan Nasional (PN) memperkenalkan logo dan warna baru gabungan parti itu untuk digunakan pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15), bertujuan mengelak kekeliruan penyokongnya dengan Barisan Nasional (BN).

Timbalan Presiden PAS Tuan Ibrahim Tuan Man berkata perkara tersebut telah dibincangkan pimpinan tertinggi gabungan itu, selepas Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka dan Johor, apabila mendapati ada sebahagian penyokong mereka keliru antara warna PN dan BN.

“Disebabkan perkara itu, pimpinan PN akan mengkaji keperluan (menukar) warna yang berbeza dengan BN serta parti-parti lain untuk PRU akan datang,” katanya kepada pemberita pada Majlis Jamuan Rakyat Aidiladha Parlimen Kubang Kerian, di Pasir Tumboh, Kelantan semalam.

Beliau yang juga ahli Parlimen Kubang Kerian berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan Pengerusi PN Muhyiddin Yassin mengenai cadangan PN untuk memperkenalkan logo baru pada PRU15.

Katanya parti itu mengambil serius mengenai cadangan pengenalan logo dan warna baru PN, namun keputusan tertakluk kepada kepimpinan parti nanti.

“PAS ini pengalaman banyak, dahulu kita juga pernah guna lambang BN, dulu kita ada pelbagai logo seperti lambang bulan dan bintang serta tangan, bagi ahli parti ia tiada masalah kerana sentiasa mendukung keputusan parti,” katanya.