- Iklan -
Berita

Jangka hayat penduduk Malaysia meningkat 12 tahun lebih lama

Kelahiran baru pada tahun ini dijangka hidup melebihi 75.6 tahun.

Bernama
2 minit bacaan
Kongsi
Seorang bapa berjalan sambil menolak kereta sorong bayi di ibu negara ketika melalui deretan Jalur Gemilang.
Seorang bapa berjalan sambil menolak kereta sorong bayi di ibu negara ketika melalui deretan Jalur Gemilang.

Bayi yang baru lahir pada 2021 dijangka hidup hingga 75.6 tahun atau 12 tahun lebih lama berbanding lima dekad lepas, iaitu hingga 63.6 tahun pada 1970, menurut Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM).

Ketua Perangkawan Mohd Uzir Mahidin berkata jangkaan hayat yang meningkat menunjukkan Malaysia akan berhadapan dengan penuaan penduduk pada 2030, dengan peratus penduduk berumur 60 tahun dan ke atas telah mencapai 15.3% daripada jumlah penduduk.

“Justeru itu, persediaan kesihatan dan simpanan kewangan yang mencukupi perlu dibuat bagi mengelak kesukaran hidup selepas persaraan,” katanya dalam kenyataan bersempena Hari Penduduk Sedunia 2022 yang disambut setiap 11 Julai.

Bagaimanapun beliau berkata pertambahan penduduk di Malaysia meningkat dengan kadar lebih perlahan pada 2020 berbanding 3.6% pada 1970, berikutan empat faktor yang mempengaruhi iaitu kadar kesuburan, jangka hayat, struktur umur (agihan di antara umur muda dan umur tua) serta migrasi.

“Kadar kesuburan jumlah (TFR) bagi seorang wanita di Malaysia dalam tempoh reproduktif telah menurun kepada 1.7 bayi pada 2020 berbanding 4.9 bayi pada 1970. TFR ini merupakan yang terendah dalam tempoh lima dekad ini,” katanya.

Uzir berkata dari segi perubahan taburan struktur umur, bagi tempoh 1970 hingga 2020, peratus kanak-kanak bawah umur 15 tahun (umur muda) menunjukkan trend penurunan daripada 44.9% pada 1970 kepada 24% pada 2020.

“Trend umur muda yang semakin menurun dan peningkatan umur tua yang semakin ketara akan menjejaskan bilangan dan tanggungan untuk umur bekerja pada masa hadapan.

“Peratusan penduduk umur bekerja 15 hingga 64 tahun menunjukkan peningkatan daripada 52.1% pada 1970 kepada 69.3% pada 2020 dan diunjurkan menurun secara perlahan kepada 66.3% daripada jumlah penduduk pada 2040,” katanya.

Beliau berkata penduduk Malaysia diunjurkan kepada 41.5 juta orang menjelang 2040 dan pertambahan penduduk akan merangsang peningkatan pengeluaran makanan dan perubahan diet turut menjadi faktor yang mempengaruhi jaminan bekalan makanan.

Katanya, antara cabaran yang harus ditangani pada masa kini adalah keseimbangan antara keperluan jaminan bekalan makanan dan jumlah keluasan kawasan pertanian yang terhad serta kesan daripada perubahan iklim.

Menurut data DOSM, penduduk Malaysia telah mencecah 32.4 juta pada 2020 dengan penduduk tertinggi di Selangor seramai tujuh juta manakala terendah di Labuan seramai 95,100 orang.

Uzir turut memaklumkan DOSM akan menganjurkan Regional Training Workshop on "Harnessing Opportunities Towards Resilient Future Through Census Data" pada akhir bulan ini sebagai platform ideal kepada ahli statistik, ahli ekonomi, Pejabat Statistik Kebangsaan (NSO) terpilih dan pegawai kerajaan Malaysia untuk membincangkan isu berkaitan kependudukan dan demografi bersama pakar antarabangsa.