- Iklan -
Berita

Bapa didakwa bunuh bayi lelaki berusia 6 bulan

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman mati jika sabit kesalahan.

Bernama
1 minit bacaan
Kongsi
Pembantu Perubatan Zahrul Ashrik Zulkaflee di Mahkamah Majistret Ipoh. Dia didakwa membunuh bayi lelakinya, 6 April. Gambar: Bernama
Pembantu Perubatan Zahrul Ashrik Zulkaflee di Mahkamah Majistret Ipoh. Dia didakwa membunuh bayi lelakinya, 6 April. Gambar: Bernama

Seorang pembantu perubatan didakwa di Mahkamah Majistret di Ipoh hari ini atas pertuduhan membunuh bayi kandungnya yang berusia enam bulan, Mac lepas.

Zahrul Ashrik Zulkaflee, 30, mengangguk faham ketika pertuduhan dibacakan dan tiada pengakuan direkodkan di hadapan Majistret Jesseca Daimis kerana kes bunuh di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.

Mengikut kertas pertuduhan, penjawat awam itu didakwa membunuh Muhammad Zakir Asyraf yang berusia enam bulan di sebuah rumah di Kampung Kepayang, Fairpark di sini kira-kira 10 malam, 17 Mac lepas.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman mati jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Nor Syahirah Azahar manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Jesseca kemudian menetapkan 12 Jun depan sebagai tarikh sebutan semula kes bagi serahan laporan kimia.