- Iklan -
Berita

China akan tingkat kerjasama dengan Malaysia hadapi inflasi, keselamatan makanan, kata PM

Ismail Sabri Yaakob berkata beliau turut menyuarakan pandangan mengenai konflik dunia yang perlu diselesaikan di meja rundingan.

Bernama
2 minit bacaan
Kongsi
Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob menerima kunjungan hormat Menteri Luar China Wang Yi di Putrajaya. Gambar: Bernama
Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob menerima kunjungan hormat Menteri Luar China Wang Yi di Putrajaya. Gambar: Bernama

China akan terus memberi keutamaan untuk meningkatkan kerjasama dua hala dengan Malaysia terutama bagi menangani cabaran semasa yang dihadapi kedua-dua negara pada hari ini seperti inflasi global dan keselamatan makanan.

Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob berkata perkara itu dinyatakan Menteri Luar China Wang Yi ketika kunjungan hormatnya ke Putrajaya hari ini.

Ismail berkata China juga perlu memainkan peranan penting bagi memastikan keamanan dunia dikekalkan.

“Saya menyuarakan pandangan bahawa setiap konflik yang berlaku wajar diselesaikan di meja rundingan dan bukan melalui peperangan,” katanya dalam catatan di laman Facebook rasminya.

Beliau berkata pertemuan dalam suasana mesra selama sejam itu turut membincangkan mengenai hubungan dua hala serta kepentingan dalam membangunkan ekonomi digital.

Katanya Malaysia mengalu-alukan minat lebih banyak delegasi rasmi dan perniagaan dari China seperti Huawei untuk sama-sama terlibat dalam inisiatif kerajaan.

Ismail berkata Yi turut menyatakan penghargaan kepada kerajaan Malaysia di atas peluang yang diberikan kepada syarikat-syarikat infrastruktur China untuk terlibat sama dalam projek pembangunan negara antaranya pelaksanaan projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL).

Menurutnya pihak China berhasrat meneruskan kesinambungan jaringan landasan keretapi yang turut melibatkan Laos dan Thailand.

Dalam masa sama, perdana menteri turut menyampaikan ucap selamat kepada Presiden China Xi Jinping dan Premier Li Keqiang.

“Saya menyuarakan hasrat untuk mengadakan lawatan rasmi ke China dalam masa terdekat dan melakukan kunjungan hormat ke atas Presiden Xi dan Premier Li,” katanya.

Yi kini dalam rangka lawatan rasmi dua hari ke Malaysia bermula semalam.

Kali terakhir Yi mengadakan lawatan rasmi ke Malaysia adalah dua tahun lepas.

Wisma Putra memaklumkan bahawa hubungan Malaysia dan China terus diperkukuh dan diharmonikan sejak peningkatan jalinan hubungan Malaysia-China ke tahap Perkongsian Strategik Komprehensif pada 2013.

Kedua-dua negara akan menyambut ulang tahun ke-10 perkongsian itu tahun depan.