- Iklan -
Berita

Undang-undang pemakaian pelitup muka mungkin dikuatkuasakan semula, kata Khairy

Penguatkuasaan undang-undang itu dipertimbangkan selepas kementerian mendapati trend pemakaian pelitup muka di premis tertutup semakin berkurangan.

Nur Hasliza Mohd Salleh
2 minit bacaan
Kongsi
Orang ramai memakai pelitup muka di dalam pasar raya di ibu negara Kuala Lumpur.
Orang ramai memakai pelitup muka di dalam pasar raya di ibu negara Kuala Lumpur.

Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) tidak menolak kemungkinan pelaksanaan semula penguatkuasaan undang-undang pemakaian pelitup muka di tempat awam di bawah Akta 342 Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988, selepas empat bulan kerajaan mengumumkan peralihan ke fasa endemik jangkitan Covid-19.
 
Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin berkata ianya selepas kementerian mendapati trend mematuhi pemakaian pelitup muka di premis-premis tertutup semakin berkurangan dalam kalangan rakyat Malaysia.
 
Katanya, sehingga kini, pemakaian pelitup muka masih wajib. 

Bagaimanapun, sejak 17 April lalu, KKM mengambil keputusan bahawa tiada lagi pengeluaran notis saman kerana ianya selari dengan pengumuman kerajaan menuju ke fasa endemik pada 1 April lalu.
 
Menerusi Akta 342 itu, mana-mana individu yang melanggar kesalahan berkenaan boleh dikenakan denda tidak melebihi RM1,000 atau penjara selama tempoh tidak melebihi enam bulan.
 
“Jadi kita lebih utamakan pemerkasaan komuniti dan tanggungjawab individu. Bukannya pemerkasaan undang-undang.
 
“Sekiranya jumlah kes lebih meningkat dan mendadak, KKM tidak menolak kita akan kuatkuasakan semula akta 342 kepada mereka yang enggan pakai pelitup muka,” katanya dalam satu sidang media di Putrajaya hari ini.
 
Semalam, sebanyak 4,020 kes baru Covid-19 direkodkan menjadikan jumlah keseluruhan sebanyak 4,586,322 kes, situasi yang menimbulkan kegusaran kepada kementerian memandangkan negara sedang berada dalam fasa terakhir melawan jangkitan tersebut.
 
Ketika ini, 33,839 kes aktif direkodkan, dengan 32,617 atau 96.4% daripadanya sedang menjalani kuarantin kendiri.
 
Khairy berkata, terdapat ramai pihak yang sambil lewa dan mengabaikan pemakaian pelitup muka sedangkan cara tersebut merupakan langkah paling berkesan untuk menghindari penularan wabak Covid-19.
 
“Saya masih lagi rayu atas pemerkasaan individu dan komuniti terhadap pemakaian pelitup muka di premis tertutup kecuali ketika waktu makan, minum dan mengambil gambar.
 
“Dalam konteks yang lain mereka perlu terus patuh kerana ianya langkah yang berksan untuk kurangkan jangkitan Covid-19.”
 
Atas sebab itu, Khairy mengingatkan orang ramai supaya terus peka dan mengamalkan langkah-langkah kesihatan awam bagi menghindarkan diri dan ahli keluarga daripada jangkitan dan gelombang baru wabak tersebut.
 
Beliau turut menyeru kepada setiap individu yang merancang untuk pulang ke kampung dalam masa terdekat ekoran sambutan perayaan untuk membuat ujian kendiri Covid-19. 

Ini bagi memastikan golongan berisiko tinggi terutamanya golongan warga emas tidak terdedah kepada risiko jangkitan dan gejala yang teruk.