- Iklan -
Berita

Modul hadis hanya untuk murid Islam, kata KPM

Program perintis itu akan melibatkan guru dan murid beragama Islam di 61 Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) dan 228 Sekolah Agama Bantuan Kerajaan (SABK) di seluruh negara.

Staff Writers
1 minit bacaan
Kongsi
Murid sedang mengikuti pembelajaran di Sekolah Kafa Integrasi Kampung Tasik Permai Ampang, 1 Mac 2021.
Murid sedang mengikuti pembelajaran di Sekolah Kafa Integrasi Kampung Tasik Permai Ampang, 1 Mac 2021.

Pelaksanaan modul baru yang berasaskan hadis hanya disasarkan kepada guru dan murid beragama Islam sahaja, kata Kementerian Pendidikan (KPM) hari ini susulan bantahan terhadap laporan bahawa ia akan diperkenalkan di semua sekolah seluruh negara.

KPM berkata program rintis pelaksanaan "Modul Peghayatan Hadis 40 Imam Nawawi" akan melibatkan guru dan murid beragama Islam di 61 Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) dan 228 Sekolah Agama Bantuan Kerajaan (SABK) di seluruh negara.

“Inisiatif ini diharapkan mampu melahirkan generasi anak yang baik lagi cerdik seterusnya mengangkat karamah insaniah berdasarkan tiga elemen utama iaitu adab, akhlak dan integriti,” menurut KPM dalam satu kenyataan.

Sebelum ini dilaporkan modul itu akan dilaksanakan di sekolah menengah agama kerajaan dan bantuan kerajaan sebelum diperluaskan kepada sekolah di bawah KPM tahun depan.

Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek sebelum ini berkata modul itu adalah untuk memupuk nilai-nilai yang terkandung dalam hadis tersebut.

“Saya tidak mempunyai masalah dengan nilai-nilai hadis yang dibawa ke sekolah dan pada masa yang sama, kami mempunyai komitmen yang besar untuk melihat anak-anak Islam kami benar-benar menghayati 40 hadis tersebut,” katanya.

Tindakan itu bagaimanapun mendapat bantahan termasuk daripada Majlis Perundingan Malaysia Agama Buddha, Kristian, Hindu, Sikh dan Taois yang mengatakan hadis itu adalah sebahagian daripada agama Islam.

“Nampaknya tiada peruntukan dalam Perlembagaan Persekutuan kita yang membenarkan ajaran Islam sebegitu di sekolah jenis kebangsaan.

“Ini lebih sesuai dilaksanakan di sekolah agama Islam," katanya.