- Iklan -
Berita

KPM bangunkan 3 sistem dalam talian bantu pengurusan sekolah, guru

Sistem digital itu melibatkan proses penyusunan jadual pembelajaran, pengurusan utiliti dan sistem pelaporan pembelajaran dan pengajaran guru.

Bernama
2 minit bacaan
Kongsi
Menteri Pendidikan Radzi Jidin berkata sistem berkenaan dalam proses libat urus dengan pemegang taruh termasuk pihak pengurusan sekolah bagi memastikan ia menepati keperluan untuk menyusun jadual pembelajaran murid.
Menteri Pendidikan Radzi Jidin berkata sistem berkenaan dalam proses libat urus dengan pemegang taruh termasuk pihak pengurusan sekolah bagi memastikan ia menepati keperluan untuk menyusun jadual pembelajaran murid.

Kementerian Pendidikan sedang membangunkan tiga sistem secara dalam talian untuk membantu pengurusan sekolah dan memudahkan tugas guru.

Menteri Pendidikan Radzi Jidin berkata sistem berkenaan melibatkan sistem penyusunan jadual pembelajaran, sistem pengurusan utiliti dan sistem pelaporan pembelajaran dan pengajaran (PdP) guru.

Menurut beliau, selaras dengan digitalisasi, KPM perlu mengambil peluang untuk menambah baik sistem pengurusan dan kecekapan sumber selain mentransformasikan pedagogi pendidikan negara menjadi lebih menarik.

"Untuk sistem pengurusan utiliti, kami sudah dalam peringkat akhir dan ada prototaip telah siap... Ada lagi penambahbaikan perlu dibuat dan kami harap tahun ini sistem tersebut dapat digunakan.

"Bagi sistem penjadualan waktu pembelajaran, kami dapati ada sekolah yang buat secara manual dan ada juga sekolah beli sistem dari vendor luar... kami sedang bangunkan sistem itu untuk kegunaan sekolah seluruh negara dan harap boleh digunakan secepat mungkin," katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas merasmikan Anugerah Penggunaan Digital dan Teknologi (Duta) 2021, di Bukit Kiara semalam.

Jelasnya, sistem berkenaan dalam proses libat urus dengan pemegang taruh termasuk pihak pengurusan sekolah bagi memastikan sistem berkenaan menepati keperluan untuk menyusun jadual pembelajaran murid.

Menurut Radzi, sistem pelaporan PdP pula bagi menyelaraskan dan memudahkan guru menghantar data kepada satu platform yang boleh diakses daripada pelbagai peringkat.

Sementara itu dalam ucapan perasmiannya, beliau berkata pendidikan berasaskan digital bukan lagi pilihan sebaliknya keperluan selaras dengan perkembangan revolusi industri 4.0 (IR4.0) selain melahirkan murid dan generasi fasih digital.

"Kami mahu melahirkan murid yang fasih digital dan mampu bersaing mengikut keperluan semasa. Melalui pendidikan digital kita mampu menambah baik pedagogi pendidikan.

"Guru mahir bidang digital mampu menghasilkan pendekatan pedagogi pendidikan lebih menarik selaras perkembangan IR 4.0," katanya.

Turut hadir di Duta 2021, Timbalan Ketua Pengarah Pendidikan (Dasar Dan Kurikulum) Pkharuddin Ghazali dan Timbalan Pengarah Bahagian Sumber dan Teknologi Pendidikan Shaiful Hasnan Abdul Hamid.

Duta adalah acara tahunan untuk mengiktiraf usaha serta komitmen guru dan murid dalam menjayakan inisiatiaf pendidikan digital selain melahirkan murid fasih digital.

Sebanyak 19 kategori menerusi tiga anugerah utama dipertandingkan iaitu Anugerah Pendidikan Digital, Anugerah Pengkarya Guru dan Anugerah Pusat Sumber Sekolah.