- Iklan -
Berita

Autonomi universiti, kebebasan atau beban?

Walaupun wujud masalah kewangan namun seorang bekas naib canselor berkata proses autonomi bagus untuk masa depan pendidikan tinggi negara.

Nur Hasliza Mohd Salleh
4 minit bacaan
Kongsi
Jualan no plat kenderaan dengan nombor khas menjadi salah satu cara universiti Malaysia menjana dana kewangannya.
Jualan no plat kenderaan dengan nombor khas menjadi salah satu cara universiti Malaysia menjana dana kewangannya.

Hasrat untuk melihat sektor pengajian tinggi meningkatkan daya urus tadbir sendiri selepas penganugerahan autonomi sepenuhnya dianggap sebagai hampir mustahil apabila banyak universiti awam bergelut dengan krisis kewangan, ketelusan pentadbiran dan lambakan pengenalan budaya korporat yang tidak bersesuaian dengan dunia akademik.

Sejak program pelaksanaan autonomi diperkenalkan pada 2012 di bawah Pelan Strategik Pendidikan Tinggi Negara, kesemua 20 universiti awam mempunyai kuasa untuk mengurus sumber tanpa perlu merujuk kepada agensi pusat bagi membolehkan universiti menjadi lebih fleksibel dalam membuat keputusan termasuk dari segi kewangan dan pengurusan sumber manusia.

Sebaliknya, lain pula yang berlaku.

Autonomi universiti menyebabkan ahli-ahli akademik yang berlatarbelakangkan kerja-kerja penyelidikan dan mendidik terpaksa menjadi “ahli perniagaan segera” untuk mendapatkan sumber kewangan sendiri bagi menampung perbelanjaan kerja-kerja penyelidikan masing-masing.

Di sektor pengurusan dan perolehan universiti juga bergelut dengan masalah sama sehingga menyaksikan kegagalan untuk menyelenggara dan menaik taraf fasiliti seperti dewan kuliah, kolej kediaman mahasiswa dan bangunan-bangunan fakulti.

Lebih menyedihkan, autonomi universiti menyebabkan pengurusan sumber manusia membayar kepakaran ahli-ahli akademik secara kontrak atau sambilan disebabkan kekangan wang dan tujuan penjimatan, satu perkembangan paling drastik berlaku selepas autonomi universiti dilaksanakan.

“Ini masalahnya bila kita menilai kerja-kerja dari luar kononnya autonomi beri kebaikan kepada universiti tanpa melihat kepada strategi yang kukuh sebelum pelaksanaannya di negara sendiri,” kata seorang pensyarah kanan Universiti Sains Malaysia (USM) dengan syarat tidak dinamakan.

“Huru-hara jadinya. Macam-macam kos semua kena cari sendiri. Hinggakan ada kawan-kawan akademik saya di universiti lain pun terpaksa cari penaja untuk mesin fotostat fakulti. Adakah ini satu paradigma yang baik selepas autonomi?”

Katanya, pada peringkat awal lebih membimbangkan apabila sektor kewangan memberitahu sumber dan dana yang ada hanya bertahan untuk tempoh kurang sembilan bulan sahaja, satu situasi yang menyebabkan banyak pihak terbeban dan perlu mencari jalan penyelesaian segera.

“Betul, ramai yang tampil dengan cadangan seperti jual siri nombor pendaftaran kenderaan universiti untuk dapatkan dana.

“Sasaran utama mereka adalah alumni yang berprestij dan berjawatan tinggi kerana bidaan mereka sangat tinggi,” katanya.

Terbaru, USM melancarkan siri pendaftaran nombor pendaftaran kenderaan untuk dibida kepada umum bertujuan untuk menambah pendapatan universiti.

UniPlateNumber-MNow-050722-1

Mengulas lanjut, pensyarah tersebut berkata, di Malaysia, masih terdapat banyak kekeliruan dan pertindihan bidang kuasa selepas autonomi dilaksanakan menyebabkan perkembangan universiti terganggu.

“Saya bagi contoh mudah, ada pelajar antarabangsa berdaftar sebagai calon PhD di universiti, kami sebagai pensyarah masing-masing tak ada autonomi untuk buat keputusan, siapa yang patut terima dan siapa yang boleh menolak.

“Sekecil perkara ini pun tak ada kuasa, autonomi apa yang sebenarnya kita cuba angkat?” katanya dan menambah kekurangan dana menyebabkan universiti obses menerima kemasukan pelajar antarabangsa susulan yuran yang dibayar lebih tinggi dalam matawang asing.

“Terdapat pelajar yang diterima masuk tak boleh berkomunikasi dalam bahasa Inggeris dan menggunakan penterjemah sehingga menimbulkan kesukaran kepada pensyarah. Ini semua kesan-kesan autonomi universiti, ianya sangat mencabar.”

Autonomi bukan bermaksud perniagaan

Bagaimanapun, bekas naib canselor Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) Noor Azlan Ghazali mempertahankan penganugerahan autonomi dengan menegaskan ianya bagus untuk masa depan pendidikan tinggi negara.

Katanya, autonomi universiti mula disebut-sebut secara meluas sekitar tahun 2012, kira-kira 10 tahun lalu.

Ketika itu, rata-rata universiti awam sudah mendapat status autonomi tetapi tidak sepenuhnya.

Katanya dalam aspek autonomi universiti, isu yang selalu menjadi kebimbangan universiti adalah melibatkan hal ehwal kewangan.

Azlan berkata, dalam jangka masa yang panjang, untuk menentukan sesebuah universiti yang cemerlang dan mempunyai reputasi yang baik adalah identiti yang boleh berdiri atas kaki sendiri.

“Universiti tidak boleh meletakkan kebergantungan kepada pihak kerajaan.

“Cumanya, di Malaysia, begitulah bagaimana kita bermula,” katanya kepada MalaysiaNow.

Tambahnya, jika dibandingkan dengan situasi di luar negara, rakyat di negara-negara maju mengiktiraf sektor pendidikan tinggi sebagai bidang yang amat penting untuk pembangunan masyarakat dan negara.

Atas sebab itu, tidak menghairankan bagi sesetengah universiti yang berprestij boleh mencapai jumlah pendaftaran pendaftaran dan sumbangan dana mencecah AS$40 bilion.

“Dan anda boleh lihat, dana mencurah-curah masuk ke universiti daripada pertubuhan dan sebagainya, Ini kerana mereka merasakan lebih banyak pendapatan (universiti) lebih baik untuk masyarakat.

“Tapi saya tak merasakan Malaysia akan sampai ke tahap itu. Jadi kita mula mendapatkan kebergantungan daripada kerajaan dan sebagainya.”

Azlan mengemudi pentadbiran UKM selama lima tahun sebelum menamatkan perkhidmatan pada Disember 2018.

Kini, beliau aktif sebagai perunding ekonomi dan individu yang memerhati dasar-dasar kerajaan.

Bercakap lebih lanjut, beliau berkata pemberian autonomi memberikan universiti satu bentuk cabaran yang positif tentang bagaimana untuk menjana pendapatan secara serius.

“Apabila bercakap tentang jana pendapatan, tidak bermaksud universiti menjalankan perniagaan semata-mata.

“Terdapat banyak cara untuk jana universiti bagi mendukung segala bentuk aktiviti dalam universiti.”

Katanya, terpulang kepada kepimpinan dan para pentadbir universiti untuk menterjemah atau menyampaikan mesej kepada warga universiti tentang apakah mesej dan permintaan yang mereka mahukan.

Azlan berpandangan, isu mulai timbul di peringkat atasan apabila terdapat ahli-ahli dalam fakulti yang merasakan permintaan-permintaan itu sebagai salah satu arahan bahawa universiti mahukan mereka “berbisnes.”

“Mereka mula keliru dan berkata saya di sini bukan ingin melibatkan diri dalam penjanaan pendapatan dan keuntungan.

“Tetapi pada hemat saya, saya akan memberitahu mereka bahawa menjana pendapatan bukan bermakna anda berada dalam institusi berorientasikan keuntungan.  

“Terdapat banyak institusi yang kaya tetapi ianya bukan tentang keuntungan,” katanya dan menambah mereka perlu memahami hakikat bahawa setiap mereka jalankan di universiti memerlukan dana dan wang.