- Iklan -
Berita

Najib terima AS$30 juta dana 1MDB pada 2012, mahkamah diberitahu

Seorang penganalisis Bank Negara Malaysia berkata wang itu telah dihantar dalam dua peringkat: AS$5 juta pada 30 Oktober dan AS$25 juta pada 19 November 2012.

Bernama
2 minit bacaan
Kongsi
Bekas perdana menteri Najib Razak, diiringi oleh anggota keselamatan ketika tiba di mahkamah. Gambar: Bernama
Bekas perdana menteri Najib Razak, diiringi oleh anggota keselamatan ketika tiba di mahkamah. Gambar: Bernama

Seorang penganalisis daripada Bank Negara Malaysia (BNM) memberitahu Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini bahawa sebuah akaun peribadi milik Najib Razak menerima kemasukan AS$30 juta daripada sebuah syarikat tersedia  Blackstone Asia Real Estate Partners, didakwa ditubuhkan oleh ahli perniagaan dalam buruan Low Taek Jho atau Jho Low.

Adam Ariff Mohd Roslan, 29, berkata pada 30 Oktober 2012, sejumlah AS$5 juta dibayar dan AS$25 juta lagi dibayar pada 19 November pada tahun sama.

“Rekod Standard Chartered Bank untuk Blackstone Asia Real Estate Partners mengesahkan akaun yang menerima kedua-dua pindahan itu ialah akaun bernombor ‘2112022009694’  di bawah nama ‘AmPrivate Banking – MR’ dengan AmIslamic.

Semakan ke atas rekod dan penyata bank bertarikh 31 Oktober 2012 dan 20 Nov 2012 untuk akaun bernombor 2112022009694  di bawah nama  ’AmPrivate Banking – MR dan/atau Datuk Seri Mohd Najib Abd Razak’ seperti diberikan AmIslamic sepadan dengan pindahan itu,” kata Adam Ariff.

Saksi ke-47 pendakwaan itu berkata demikian ketika menentusahkan laporan jejak kewangan semasa perbicaraan kes Najib melibatkan pertuduhan menyelewengkan dana RM2.3 bilion daripada 1Malaysia Development Bhd (1MDB). 

Dilaporkan Jho Low menubuhkan Blackstone Asia Real Estate Partners, sebuah syarikat tersedia dengan nama yang sama dengan firma ekuiti hartanah persendirian Blackstone Real Estate dan Low didakwa dengan sengaja menggunakan satu konvensyen penamaan untuk syarikat tersedia luar pesisir yang diwujudkannya bagi menyerupai syarikat yang telah matang dalam konspirasinya mengaut berjuta-juta dolar daripada 1MDB.  

Terdahulu, Adam Ariff mengesahkan RM60.6 juta yang diterima tertuduh dalam akaun bank peribadinya pada Februari dan Jun 2011 adalah daripada Bon Nota Jangka Sederhana Islam (IMTN) yang diterbitkan pada 2009 oleh syarikat sebelum sebelum 1MDB, Lembaga Pelaburan Terengganu (TIA) yang dinamakan semula sebagai 1MDB pada 25 September 2009. 

Pada hari pertama perbicaraan 28 Ogos 2019, pendakwaan berkata ia akan mendedahkan bahawa dana 1MDB telah dipindahkan dalam pelbagai transaksi kepada akaun Najib, iaitu AS$20 juta atau lebih RM60 juta dalam fasa pertama dan AS$30 juta atau lebih RM90 juta dalam fasa kedua.

Pendakwaan juga akan menunjukkan AS$681 juta atau lebih RM2 bilion telah dipindahkan dalam fasa ketiga dan transaksi dalam paun sterling British yang bersamaan jumlah digabungkan lebih RM49 juta dalam fasa keempat.

Najib kelihatan mengenakan kot dan bertali leher seperti biasa dalam kamar mahkamah hari ini sementara beberapa penyokongnya kelihatan duduk di galeri awam.

Najib,70, menghadapi empat pertuduhan menggunakan kedudukannya untuk menerima suapan berjumlah RM2.3 bilion milik 1MDB dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram melibatkan jumlah sama.

Perbicaraan di hadapan Hakim Collin Sequerah bersambung esok.