- Iklan -
Berita

Syed Saddiq arah RM1 juta dikeluarkan dari akaun Pemuda Bersatu, kata saksi

Bekas penolong setiausaha Pemuda Bersatu Ahmad Redzuan Mohamed Shafi berkata Syed Saddiq pernah memaklumkan duit itu merupakan hasil titik peluhnya dan beliau berhak untuk menggunakan duit itu sepenuhnya.

Bernama
3 minit bacaan
Kongsi
Ahli Parlimen Muar Syed Saddiq Syed Abdul Rahman di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur semalam. Gambar: Bernama
Ahli Parlimen Muar Syed Saddiq Syed Abdul Rahman di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur semalam. Gambar: Bernama

Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur diberitahu bahawa Ahli Parlimen Muar Syed Saddiq Syed Abdul Rahman telah mengarahkan wang tunai berjumlah RM1 juta dikeluarkan daripada akaun Pemuda Bersatu kerana bimbang berlaku pertukaran pucuk pimpinan sayap parti itu.

Bekas penolong setiausahanya Ahmad Redzuan Mohamed Shafi, 32, berkata beliau pernah dimaklumkan oleh Syed Saddiq bahawa duit dalam akaun CIMB itu merupakan hasil titik peluhnya mencari sumbangan dan beliau berhak untuk menggunakan duit itu sepenuhnya.

Menurut pegawai khas kepada Menteri Kanan Pendidikan Radzi Jidin itu, satu perjumpaan diadakan di rumah Syed Saddiq yang terletak di Petaling Jaya, Selangor pada awal Mac 2020.

“Perjumpaan itu dihadiri oleh saya dan Rafiq Hakim Razali (penolong bendahari) dan dalam perjumpaan itu, YB Syed Saddiq dan kami ada berbincang mengenai pertukaran kerajaan dan kedudukan Armada dalam kerajaan kerana YB Syed Saddiq berada dalam blok pembangkang bersama-sama dengan Tun Dr Mahathir Mohamad. YB Syed Saddiq telah mengarahkan Rafiq Hakim dan saya supaya mengeluarkan wang daripada akaun Armada Parti Bersatu secara tunai berjumlah RM1 juta,” katanya.

Redzuan berkata demikian ketika membacakan pernyataan saksinya pada perbicaraan kes Syed Saddiq yang berdepan empat pertuduhan berkaitan pecah amanah serta pengubahan wang haram.

Saksi pendakwaan ke-11 itu berkata Syed Saddiq mengatakan wang itu perlu dikeluarkan daripada akaun untuk kegunaan bagi mengukuhkan kedudukannya sebagai ketua pemuda sekiranya berlaku pergolakan melalui program-program melibatkan sayap parti itu.

Menurut saksi, Syed Saddiq hanya memanggil beliau dan Rafiq Hakim kerana mereka pemegang amanah dan penandatangan cek CIMB Bank Armada Pusat dan perbincangan itu hanya diketahui oleh mereka bertiga sahaja.

“Saya dan Rafiq Hakim mengeluarkan wang tunai berjumlah RM1 juta daripada akaun rasmi Armada pada 6 Mac 2020 atas arahan YB Syed Saddiq. Semasa YB Syed Saddiq mengarahkan saya dan Rafiq Hakim mengeluarkan wang itu, beliau tidak ada memberitahu saya dan Rafiq Hakim bahawa pengeluaran wang tunai RM1 juta ini telah mendapat kebenaran atau tidak daripada Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Bersatu,” katanya yang turut memaklumkan Syed Saddiq ada memberitahu wang itu dikeluarkan untuk kegunaan parti.

Saksi itu berkata semasa di dalam bank, Rafiq ada bertanya kepadanya, “tahu tak duit ni nak simpan kat mana?” dan beliau jawab “aku cadangkan duit ni kita simpan kat rumah Mohd Daniel kerana kat rumah dia ada peti besi”.

Menurut Redzuan, Rafiq bersetuju dengan cadangannya dan setelah wang itu dikeluarkan, Rafiq membawa wang yang diisi dalam sebuah beg ke rumahnya sebelum diberikan kepada Daniel.

Redzuan berkata beliau mengetahui arahan daripada Syed Saddiq adalah satu kesalahan selepas dipanggil oleh pihak Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) pada 3 Jun 2020 kerana melanggar Fasal 24 Perlembagaan Bersatu.

Redzuan berkata menurut Fasal 24 itu, bendahari agung hanya dibenarkan menyimpan wang tunai runcit tidak melebihi RM50,000 pada satu-satu masa dan wang itu mestilah disimpan di tempat yang selamat di dalam pejabat berdaftar untuk kegunaan perbelanjaan runcit parti.

Katanya, perbelanjaan yang melebihi RM500,000 pada satu-satu masa tidak boleh dilakukan tanpa kebenaran diperoleh terlebih dahulu daripada Majlis Pimpinan Tertinggi.

“Saya sahkan YB Syed Saddiq sendiri tidak boleh mengeluarkan wang tunai daripada akaun CIMB Bank atas nama Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Armada Pusat) tanpa mengarahkan saya dan Rafiq mengeluarkannya.

“Berhubung dengan isu RM1 juta itu, walaupun kelulusan dikeluarkan oleh YB Syed Saddiq kepada saya dan Rafiq Hakim untuk mengeluarkan wang bagi mengukuhkan kedudukannya, ianya melanggar etika tatacara pengeluaran wang daripada akaun Armada,” katanya dan menambah walaupun mengetahui terdapat perlanggaran tatacara pengeluaran wang, beliau terpaksa akur dengan arahan Syed Saddiq memandangkan kapasiti beliau sebagai ketua pemuda dan juga ahli Parlimen Muar.

Mengikut pertuduhan pertama, Syed Saddiq, 29, didakwa bersubahat dengan Rafiq Hakim iaitu Penolong Bendahari Armada, Parti Pribumi Bersatu Malaysia yang diamanahkan dengan dana berjumlah RM1 juta telah melakukan pecah amanah dengan menyalahgunakan dana itu di CIMB Bank Berhad, Menara CIMB KL Sentral, Jalan Sentral 2 di Kuala Lumpur pada 6 Mac 2020.

Bagi pertuduhan kedua, tertuduh didakwa menyalahgunakan harta untuk diri sendiri iaitu wang RM120,000 daripada akaun Maybank Islamic Berhad milik Armada Bumi Bersatu Enterprise dengan menyebabkan Rafiq melupuskan wang tersebut di Malayan Banking Berhad, Jalan Pandan 3/6A, Taman Pandan Jaya di sini antara 8 hingga 21 April 2018.

Beliau juga berdepan dua pertuduhan melibatkan diri dalam aktiviti pengubahan wang haram iaitu memindahkan wang masing-masing RM50,000 dalam akaun Maybank Islamic Berhad miliknya ke akaun Amanah Saham Bumiputera miliknya, yang merupakan hasil daripada aktiviti haram di sebuah bank di Jalan Persisiran Perling, Taman Perling, Johor Bahru pada 16 dan 19 Jun 2018.

Perbicaraan di hadapan pesuruhjaya kehakiman Azhar Abdul Hamid bersambung.