- Iklan -
Berita

Najib perlu masuk penjara, kata Tok Mat

Timbalan presiden Umno itu berkata bekas perdana menteri perlu mengambil tanggungjawab penuh ke atas penyelewengan dalam skandal 1MDB.

Staff Writers
2 minit bacaan
Kongsi
Timbalan Presiden Umno Mohamad Hasan (dua dari kiri), Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob (kiri), Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi (dua dari kanan) dan bekas perdana menteri Najib Razak pada perhimpunan Umno Mac lalu.
Timbalan Presiden Umno Mohamad Hasan (dua dari kiri), Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob (kiri), Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi (dua dari kanan) dan bekas perdana menteri Najib Razak pada perhimpunan Umno Mac lalu.

Timbalan Presiden Umno Mohamad Hasan berkata Najib Razak perlu bertanggungjawab sepenuhnya terhadap skandal 1MDB, dan bekas perdana menteri itu juga perlu menjalani hukuman sekiranya gagal rayuan terakhir beliau di Mahkamah Persekutuan.

Dalam wawancara bersama Asia Times, Mohamad, yang sebelum ini berganding bahu dengan Najib dan Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi dalam usaha menjatuhkan kerajaan Perikatan Nasional (PN) tahun lalu, berkata Najib gagal membuktikan beliau tidak bersalah, sambil menambah Umno juga gagal “bercakap benar” mengenai skandal 1MDB.

“Hanya ada satu isu: 1MDB,” katanya merujuk kepada kekalahan Barisan Nasional (BN) pada pilihan raya umum 2018.

“Parti dan kerajaan terlalu bertolak ansur. Kami tidak dapat jelaskan, kami tidak berjaya beritahu perkara sebenar.

“Kami fikir ia adalah isu yang mudah sahaja,” kata Mohamad atau lebih dikenali sebagai Tok Mat.

“Kami tidak menyedari ia adalah kebakaran yang akan merebak jauh. Orang ramai kini mempunyai lebih banyak akses kepada maklumat, jadi anda tidak boleh sembunyikan dan sorokkan semuanya, jadi kami perlu tangani isu-isu ini… Negara terus merosot kerana kes 1MDB.”

Apabila dihubungi Mohamad berkata ulasannya mengikut konteks rancangan untuk mendapatkan pengampunan terhadap bekas pemimpin itu.

“Apa yang saya katakan ialah, Najib mesti mendapat perbicaraan yang adil. Jika didapati salah, salahlah, tetapi mesti diadili dengan adil.

“Proses pengampunan biasanya berjalan selepas hukuman dilaksanakan.”

Pada Julai 2020, Najib disabitkan bersalah dalam jenayah pecah amanah, salah guna kuasa dan pengubahan wang haram dalam melibatkan penyelewengan RM42 juta dana SRC International.

Sehubungan itu, beliau dijatuhi hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta.

Hukuman tersebut dikekalkan oleh tiga hakim Mahkamah Rayuan pada Disember tahun lepas.

Ketika menolak rayuan Najib, mahkamah menyifatkan tindakan memindahkan RM42 juta dari SRC International sebagai “memalukan negara”.

“Tidak ada kepentingan negara ketika RM42 juta dipindahkan ke dalam akaun Najib, ia hanya memalukan negara,” kata hakim Abdul Karim Abdul Jalil.

Najib kini dalam proses rayuan di Mahkamah Persekutuan.

Mohamad berkata Najib tidak seharusnya mengharapkan layanan istimewa sekiranya beliau akan dipenjarakan.

“Semua orang perlu terima akibat atas perbuatan mereka. Tetapi jika kita mahu berikan pengampunan, dia (Najib) perlu melalui proses itu. Dia perlu masuk ke dalam (penjara) dahulu,” katanya dipetik sebagai berkata.

“Anda tidak boleh berikan pengampunan sebelum dia melalui proses itu. Itu salah, itu benar-benar salah.”

Berhubung skandal 1MDB, Mohamad berkata apa yang berlaku adalah urusan dibuat “tanpa mengikut semak dan imbang kewangan” dan dilakukan “oleh satu orang: iaitu perdana menteri”.

“Dan beliau jugalah menteri kewangan,” tambah Mohamad.

“Beliau juga bertanggungjawab terhadap 1MDB. Itulah punca bagaimana masalah bermula.”

Bagaimanapun, Mohamad mengakui Najib masih dianggap sebagai seorang tokoh popular, mengaitkan pengaruhnya dengan persepsi bahawa beliau menjadi mangsa “pendakwaan terpilih”.

“Sama ada Najib salah atau betul, orang ramai benar-benar tahu tentang apa yang beliau lakukan. Orang tahu. Saya tahu. Kita tahu apa yang berlaku daripada apa yang kita baca,” katanya kepada Asia Times.