- Iklan -
Berita

Ahli Parlimen Sarawak Willie Mongin mohon sertai PBB

Beliau berkata permohonannya diserahkan beberapa bulan lalu.

Nur Shazreena Ali
1 minit bacaan
Kongsi
Ahli Parlimen Puncak Borneo Willie Mongin. Gambar: Bernama
Ahli Parlimen Puncak Borneo Willie Mongin. Gambar: Bernama

Ahli Parlimen Bersatu Willie Mongin hari ini mengesahkan beliau telah menyerahkan permohonan untuk menyertai Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB), parti yang dipimpin Premier Sarawak Abang Johari Openg.

Bercakap pada sebuah majlis di Kuching hari ini, ahli Parlimen Puncak Borneo itu berkata beliau menyerahkan permohonan penyertaannya beberapa bulan lalu.

“Saya menyerahkan permohonan untuk sertai parti tempatan dengan harapan mereka dapat menerimanya,” kata Willie.

Katanya, beliau bersama Bersatu bagi mendapatkan sokongan kepada kerajaan hari ini, sambil berkata beliau masih menyokong pentadbiran kerajaan ketika ini dan menyatakan terima kasih atas bantuan yang diterimanya setakat ini.

“Saya mahu meneruskan khidmat kepada rakyat, dan saya bersyukur kerana berada dalam kerajaan,” katanya.

“Kita sudah banyak berikan bantuan dan pembangunan ke kawasan ini, dan saya harap ia akan berterusan.”

Ketika ditanya apakah permohonannya akan diterima, Willie berkata beliau berharap PBB akan menerima beliau sebagai ahli memandangkan sumbangan yang beliau berikan kepada kawasan diwakilinya.

“Saya serahkan perkara ini kepada pimpinan parti, ia terpulang kepada mereka,” katanya.

”Terpulang kepada pimpinan utama parti untuk melihat keikhlasan saya yang telah bekerja dan berkhidmat kepada rakyat.

“Jika mereka fikir saya layak untuk wakili rakyat di Puncak Borneo, saya sangat hargai jika mereka dapat pertimbangkannya.”

Willie bertanding di kerusi Puncak Borneo menggunakan tiket PKR pada pilihan raya umum 2018 yang lalu.

Beliau kemudian menyertai Bersatu pada 2020 sewaktu Langkah Sheraton di mana ia menyebabkan pentadbiran kerajaan Pakatan Harapan tumbang.