- Iklan -
Berita

Ewe tidak takut, selesa ketika SPRM rakam keterangan berkait kes rasuah Guan Eng, kata saksi

Mohamad Hambia juga mengesahkan Ewe Swee Kheng diberi peluang untuk meminda rakaman percakapannya namun tidak melakukannya.

Bernama
3 minit bacaan
Kongsi
Bekas ketua menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng. Gambar: Bernama
Bekas ketua menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng. Gambar: Bernama

Mahkamah Sesyen hari ini diberitahu bahawa pengarah urusan Ewein Zanith Sdn Bhd (EZCB) iaitu mendiang Ewe Swee Kheng tidak menunjukkan perasaan takut semasa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) merakam percakapannya berkaitan kes rasuah bekas ketua menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng, berhubung projek pembinaan jalan utama dan terowong dasar laut di negeri itu.

Penolong Penguasa SPRM Mohamad Hambia, 29, berkata pada 21 Julai 2020 beliau telah menerima arahan daripada seorang pegawai atasan SPRM untuk merakam percakapan Ewe, 53, dan dua rakaman percakapan ahli perniagaan itu diambil pada 22 dan 24 Julai 2020 di ibu pejabat SPRM, Putrajaya.

“Saksi itu dipanggil untuk datang ke ibu pejabat SPRM dan tiba pada 10.30 pagi. Saya kemudian membawa saksi ke bilik rakaman percakapan dan saksi diberikan rakaman percakapan terdahulu untuk dibaca dan diimbas semula, saksi mengakui beliau ingat.

“Saya mula merakam percakapannya pada 11 pagi dan semasa rakaman percakapan diambil saya ada bertanya kepada saksi adakah beliau selesa dan saksi itu menyatakan dia selesa dan rakaman percakapan terus diambil selain saya turut memberi Ewe makan dan minum semasa rakaman percakapan itu diambil,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa pemeriksaan utama oleh timbalan pendakwa raya Francine Cheryl Rajendram pada perbicaraan kes rasuah Lim yang berdepan empat pertuduhan membabitkan pembinaan terowong dasar laut dan projek pembinaan jalan utama di negeri itu bernilai RM6.3 bilion.

Pada prosiding sebelum ini, saksi pendakwaan ke-15, Muhammad Nazree Mansor yang juga penolong penguasa SPRM memberitahu mahkamah bahawa Ewe meluahkan rasa kebimbangan akan keselamatannya selepas membuat pendedahan berkaitan kes rasuah Lim melibatkan projek tersebut.

Sementara itu, saksi pendakwaan ke-27 itu berkata selepas rakaman percakapan diambil, beliau telah meminta Ewe untuk membaca semula dan menurunkan tanda tangannya yang ditulis nama berserta nombor kad pengenalan bagi memenuhi syarat di bawah Seksyen 30 (8) Akta SPRM.

Disoal Francine adakah Ewe diberi peluang untuk meminda rakaman percakapannya, Mohamad menjawab, “Ada, tetapi saksi (Ewe) tidak meminda dan menandatanganinya.”

Mendiang Ewe yang sepatutnya dipanggil sebagai saksi pendakwaan ke-15 meninggal dunia, selepas dilaporkan terjatuh di sebuah unit kondominium mewah di Jalan Kelawei, Pulau Pinang, pada 5 Oktober 2021.

Bagaimanapun, pada 16 Disember 2021, mahkamah membenarkan rakaman percakapan mendiang Ewe diterima masuk dan ditandakan sebagai eksibit dalam perbicaraan kes rasuah itu.

Semasa disoal balas peguam Gobind Singh Deo, yang mewakili Lim, saksi itu berkata Ewe dalam rakaman percakapannya juga memberitahu Lim dan ahli keluarganya tidak pernah membeli unit kediaman di City of Dreams.

Lim berhadapan pertuduhan pindaan menggunakan kedudukan sebagai ketua menteri Pulau Pinang untuk menerima rasuah RM3.3 juta, dalam membantu Consortium Zenith BUCG Sdn Bhd, iaitu syarikat milik Zarul Ahmad Mohd Zulkifli mendapatkan projek pembinaan bernilai RM6,341,383,702 di Pejabat Ketua Menteri Pulau Pinang, Tingkat 28, Komtar, George Town antara Januari 2011 hingga Ogos 2017.

Bagi pertuduhan pindaan kedua, Lim didakwa meminta suapan daripada Zarul sebanyak 10% daripada keuntungan diperoleh syarikat itu, sebagai penghargaan mendapatkan projek itu dan dituduh melakukan perbuatan itu berhampiran The Garden Hotels, Lingkaran Syed Putra, Mid Valley City pada Mac 2011.

Lim yang juga bekas setiausaha agung DAP itu turut berdepan dua pertuduhan menyebabkan dua lot tanah bernilai RM208.8 juta milik kerajaan Pulau Pinang dilupuskan kepada dua syarikat yang didakwa mempunyai kaitan dengan projek terowong dasar laut itu.

Dia didakwa melakukan kesalahan itu di Pejabat Tanah dan Galian Pulau Pinang, Tingkat 21, Komtar pada 17 Februari 2015 dan 22 Mac 2017.

Perbicaraan di hadapan hakim Azura Alwi bersambung 23 Jun ini.