- Iklan -
Berita

Harga maksimum ayam, telur dilanjutkan hingga 30 Jun

Pelanjutan tempoh ini adalah untuk memastikan rakyat bersedia dengan perubahan harga apabila penentuan harga berakhir pada 30 Jun.

Bernama
2 minit bacaan
Kongsi
Seorang pelanggan sedang memilih telur ayam ketika membeli belah di sebuah pasar raya terkemuka di Ampang, Kuala Lumpur.
Seorang pelanggan sedang memilih telur ayam ketika membeli belah di sebuah pasar raya terkemuka di Ampang, Kuala Lumpur.

Kerajaan bersetuju melanjutkan harga maksimum runcit ayam standard, ayam super dan telur ayam menerusi Penentuan Harga Maksimum Ayam dan Telur Ayam hingga 30 Jun ini.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna Alexander Nanta Linggi berkata Penentuan Harga Maksimum Ayam dan Telur Ayam yang dilaksanakan sejak 5 Februari lepas sepatutnya berakhir Ahad ini (5 Jun), dan pelanjutan itu dipersetujui dalam mesyuarat Jemaah Menteri semalam.

“Pelanjutan tempoh ini adalah untuk memastikan Keluarga Malaysia bersedia dengan perubahan harga apabila penentuan harga ini berakhir pada 30 Jun 2022 nanti,” kata Nanta dalam satu kenyataan hari ini.

Menerusi Penentuan Harga Maksimum Ayam dan Telur Ayam, harga maksimum runcit ayam dan telur bagi semenanjung Malaysia bagi ayam bulat standard ditetapkan pada RM8.90 sekilogram, ayam bulat super pada RM9.90 sekilogram, telur ayam gred A pada 43 sen sebiji, telur ayam gred B pada 41 sen sebiji dan telur ayam gred C pada 39 sen sebiji.

Bagi Langkawi, Sabah, Sarawak dan Labuan, harga maksimum ayam dan telur adalah berbeza mengikut zon dan daerah.

Nanta berkata Kementerian Kewangan akan meneliti cadangan pemberian bantuan untuk golongan sasar berpendapatan rendah termasuk kadar dan mekanisme penyaluran bantuan bagi menangani kenaikan harga barang apabila penentuan harga maksimum ayam dan telur tamat pada 30 Jun nanti.

Beliau berkata pegawai penguat kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) akan terus meningkatkan penguatkuasaan setiap hari di seluruh negara untuk menentukan bekalan sentiasa stabil dan tiada pencatutan berlaku di pasaran.

“Kerajaan mengingatkan kepada komuniti peniaga supaya sentiasa beretika dalam menjalankan perniagaan dan tidak mencatut untuk mengaut keuntungan yang tidak munasabah,” katanya.

Kerajaan, kata Nanta turut menyeru agar pengguna menggunakan kuasa beli mereka dalam membeli mengikut keperluan dan berbelanja secara berhemah.