- Iklan -
Berita

Gardenia KL diminta beri penjelasan kenaikan harga roti

Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup berkata syarikat itu perlu memberi penjelasan dalam tempoh enam hari.

Bernama
1 minit bacaan
Kongsi
Gardenia Bakeries (KL) Sdn Bhd baru-baru ini berkata ia akan menaikkan harga 30 produk sebanyak 10 hingga 40 sen. Gambar: Bernama
Gardenia Bakeries (KL) Sdn Bhd baru-baru ini berkata ia akan menaikkan harga 30 produk sebanyak 10 hingga 40 sen. Gambar: Bernama

Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) sudah mengeluarkan notis meminta syarikat pengeluar roti Gardenia Bakeries (KL) Sdn Bhd (Gardenia KL) memberikan penjelasan berhubung kenaikan harga 30 jenis roti miliknya bermula 1 Oktober ini.

Timbalan Menteri berkenaan Fuziah Salleh berkata syarikat berkenaan perlu menjawab notis yang dikeluarkan semalam itu, sebagai sebahagian daripada usaha pihaknya bagi mengelak berlakunya kenaikan harga yang tidak munasabah sehingga boleh membebankan rakyat.

"Pihak Gardenia perlu menjawab notis itu dalam tempoh enam hari sebab kita hendak tahu semua kos terlibat, sebagai contoh harga tepung digunakan, kos pengangkutan, borong dan runcit. Keseluruhan rantaian bekalan ini perlu dijelaskan," katanya. 

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri Program Jualan Rahmah Bergerak Dewan Undangan Negeri (DUN) Tanjung Lumpur di Projek Perumahan Rakyat Disewa (PPRS) Pinggiran Putra di sini hari ini.

Katanya KPDN akan melakukan pengiraan secara komprehensif selepas menerima penjelasan Gardenia KL nanti, bagi menentukan sama ada kenaikan harga barangan makanan itu rasional atau tidak.

Katanya KPDN tidak dapat menghalang sesebuah syarikat untuk menaikkan harga barangan mereka, bagaimanapun penetapan harga sebenarnya masih boleh dikawal mengikut Akta Kawalan Harga dan Anti-Pencatutan.

Gardenia KL sebelum ini mengesahkan 30 produk mereka akan mengalami kenaikan harga antara 10 dan 40 sen, selepas menyemak semula harga bagi produk terpilih; namun harga roti putih, roti gandum penuh dan roti Toast'em masih kekal bagi memastikan kenaikan tidak membebankan majoriti pelanggan.

Sementara itu dalam program Jualan Rahmah hari ini menyaksikan dua lori yang membawa muatan pelbagai barang makanan dan keperluan asas dengan nilai subsidi RM34,000 ditempatkan di kawasan PPRS berkenaan bagi memudahkan orang ramai membelinya.

- Iklan -

Paling Popular

Tiada artikel ditemui.