- Iklan -
Berita

Kenaikan barang mendadak, ramai peniaga hentikan Menu Rahmah

Menurut peniaga peningkatan kos menyukarkan mereka untuk terus menyerap kos makanan mampu milik.

MalaysiaNow
2 minit bacaan
Kongsi
Seorang pekerja menghidangkan Menu Rahmah untuk pelanggan di sebuah kedai makan di Subang, 21 Jun.
Seorang pekerja menghidangkan Menu Rahmah untuk pelanggan di sebuah kedai makan di Subang, 21 Jun.

Terbeban dengan kenaikan harga barang mentah menyebabkan ramai peniaga tidak lagi mampu untuk meneruskan hidangan Menu Rahmah, dedah persatuan dan peniaga.

Seorang peniaga, Ayob Abd Majid berkata kebanyakan peniagaan hanya mampu bertahan dalam tempoh tiga hingga empat bulan pertama menawarkan hidangan Menu Rahmah.

“Selepas tiga-empat bulan memang ramai peniaga yang tidak teruskan lagi kerana tidak mampu lagi nak tampung kos kenaikan harga barang asas,” kata pengerusi Persatuan Peniaga Kecil Ampang itu kepada MalaysiaNow.

Menu Rahmah merupakan inisiatif Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup ketika dipimpin Salahhuddin Ayub bertujuan membantu mengurangkan beban golongan berpendapatan rendah berikutan kenaikan kos kehidupan.

Program itu dilancarkan sejak awal Januari lepas dengan menawarkan set menu seimbang pada harga RM5.

Pada masa sama, Ayob berkata beliau sendiri sudah menghentikan jualan hidangan Menu Rahmah di kedai makannya.

Tambah beliau sebelum ini kebanyakan peniaga menawarkan hidangan Menu Rahmah hanyalah kerana mahu menyokong seruan kerajaan.

“Ada juga kedai yang Menu Rahmah ini sebagai bentuk promosi untuk tarik pelanggan. 

“Sebab kita tahu kalau dalam lima orang pelanggan tak semua akan ambil Menu Rahmah, mungkin hanya seorang. Tapi disebabkan inisiatif itu dari kerajaan, jadi peniaga mahu menyokong program itu,” katanya.

Mengulas lanjut, beliau menggesa kerajaan untuk bertindak segera mengawal kenaikan harga barang mentah.

Beliau berkata paling terjejas dengan situasi tersebut sudah tentu peniaga kecil.

“Saya nak kata kita sedang berdepan dengan krisis. Tapi nanti kerajaan marah kita pula, kata tak betul heret kita dalam politik.

“Tapi inilah realiti yang sebenar. Bayangkan sekarang ini kalau nak beli barang contoh di sebuah pasar raya di Ampang kita kena beratur untuk dapatkan minyak masak kemudian ada catuan pula,” katanya.

Sukar dapatkan bahan mentah

Seorang peniaga yang hanya mahu dikenali sebagai Che Azizah, 62, berkata dia juga sudah lama menghentikan jualan Menu Rahmah di kedainya.

Che Azizah berkata peniaga sepertinya bukan sahaja bergelut dengan kenaikan kos, tetapi turut sukar mendapatkan bahan mentah.

Pada masa sama, dia meluahkan kekecewaannya dengan kerajaan yang dilihat tidak serius dalam menangani krisis itu.

“Saya tak nampak apa kerajaan buat. Sebab makin hari barang susah nak dapat, harga makin naik.

“Macam tadi merata-rata saya kedai saya pergi hanya untuk dapatkan bekalan beras dan minyak. 

“Memang saya tak tahu sampai bila operasi kedai saya boleh bertahan,” katanya.

Bagaimanapun, pemilik rangkaian runcit terkemuka Ameer Ali Mydin berkata akan tetap meneruskan Menu Rahmah biarpun berlaku kenaikan harga barang.

Pemilik rangkaian Mydin itu berkata, tidak memikirkan sangat keuntungan atau kerugian dihadapi namun ia lebih kepada tanggungjawab membantu rakyat yang terbeban dengan krisis harga makanan.

“Saya teruskan sahaja, dan kita tanggung sendiri kos, sebab kalau ikutkan memang naik. 

“Contoh bila harga beras naik, kita tanggung 15 sen bagi satu pinggan.

“Jadi saya fikir walau naik tapi masih tidak melebihi dari kos kita,” katanya.