- Iklan -
Berita

PH tidak setuju cadangan PM untuk perkenal semula GST

Pimpinan gabungan itu berkata ia bakal menyebabkan kenaikan harga barang secara mendadak.

Staff Writers
1 minit bacaan
Kongsi
Cukai barangan dan perkhidmatan sebanyak 6% diperkenalkan pada 2015 namun kemudiannya dimansuhkan selepas Pakatan Harapan mengambil alih pentadbiran kerajaan. Gambar: AFP
Cukai barangan dan perkhidmatan sebanyak 6% diperkenalkan pada 2015 namun kemudiannya dimansuhkan selepas Pakatan Harapan mengambil alih pentadbiran kerajaan. Gambar: AFP

Pakatan Harapan (PH) hari ini berkata ia tidak bersetuju dengan cadangan Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob untuk melaksanakan semula sistem cukai barangan dan perkhidmatan (GST), mengatakan ia akan menyebabkan harga barang naik mendadak.

Dalam sebuah kenyataan Majlis Presiden PH, mereka berkata keadaan inflasi yang semakin tinggi telah menyebabkan kenaikan kos sara hidup selain pendapatan isi rumah yang berkurangan akibat pandemik Covid-19.

“Pengenalan semula GST bakal mengakibatkan harga barang meningkat dengan mendadak.

“Jika ditambah dengan masalah rantaian bekalan serta gaji yang tidak meningkat, rakyat akan menerima tekanan yang amat dahsyat.

“Oleh itu, PH tidak bersetuju dengan cadangan memperkenal semula cukai GST selagi pelbagai isu ini terus membelenggu rakyat,” kata kenyataan yang ditandatangani Presiden PKR Anwar Ibrahim, Presiden Amanah Mohamad Sabu, Setiausaha Agung DAP Anthony Loke dan Madius Tangau dari Upko.

Semalam Ismail dalam wawancara bersama agensi Nikkei di Jepun berkata, Malaysia mempertimbangkan untuk memperkenalkan semula sistem cukai GST.

Ia sebagai satu langkah untuk menangani inflasi dalam negara yang ketika ini mengambil keputusan memansuhkan permit import (AP) bagi beberapa komoditi selain turut melaksanakan larangan eksport ayam.

Pada 2015, pentadbiran Umno di bawah pimpinan Najib Razak melaksanakan GST.

Bagaimanapun, selepas tiga tahun ia dilaksanakan, pentadbiran kerajaan PH pimpinan Dr Mahathir Mohamad memansuhkan sistem cukai tersebut selepas berjaya menumbangkan Umno pada Pilihan Raya Umum ke-14, di mana rata-rata pengundi mengatakan kadar 6% GST menyebabkan peningkatan kos.