- Iklan -
Berita

Inflasi di Malaysia, Ismail tak layan desakan adakan PRU lebih awal

Perdana menteri turut berkata Putrajaya sedang mempertimbangkan untuk memperkenalkan semula cukai barangan dan perkhidmatan.

Reuters
2 minit bacaan
Kongsi
Pengundi menunggu giliran untuk membuang undi di Pulau Salak, Sarawak pada PRN Disember lalu. Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob berkata beliau menunggu "masa yang sesuai" untuk mengadakan pilihan raya umum.
Pengundi menunggu giliran untuk membuang undi di Pulau Salak, Sarawak pada PRN Disember lalu. Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob berkata beliau menunggu "masa yang sesuai" untuk mengadakan pilihan raya umum.

Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob tidak melayan desakan supaya pilihan raya umum diadakan lebih awal, memetik isu kenaikan harga barang dan kos sara hidup, lapor agensi berita Nikkei hari ini.

Walaupun pilihan raya dijangka diadakan pada 2023, namun Ismail berdepan tekanan daripada pemimpin Umno supaya membubarkan Parlimen lebih awal ekoran sambutan baik terhadap parti itu dalam beberapa pilihan raya negeri (PRN) yang diadakan baru-baru ini.

Ismail memberitahu Nikkei dalam satu wawancara bahawa beliau akan menunggu “masa yang sesuai” bagi memberi laluan pilihan raya diadakan, memandangkan tekanan inflasi yang dihadapi Malaysia akibat konflik peperangan di Ukraine.

“Kami kini menghadapi tempoh inflasi yang meningkat menyaksikan harga barangan melambung… adakah anda fikir ini masa yang sesuai?” Ismail dipetik Nikkei sebagai berkata.

Bank Negara Malaysia menjangkakan inflasi secara purata antara 2.2% dan 3.2% bagi tahun ini, di mana kos makanan meningkat 4.1% pada April.

Awal bulan ini, bank pusat mitu juga turut menaikkan kadar faedah utamanya bagi mengurangkan tekanan inflasi.

Kerajaan memperkenalkan beberapa langkah kawalan harga, namun kos subsidi membebankan perbelanjaannya.

Ismail turut berkata bahawa kerajaan sedang mempertimbangkan untuk memperkenalkan semula cukai barangan dan perkhidmatan (GST).

Pada 2015, pentadbiran Umno di bawah pimpinan Najib Razak melaksanakan GST.

Bagaimanapun, selepas tiga tahun ia dilaksanakan, pentadbiran kerajaan Pakatan Harapan pimpinan Dr Mahathir Mohamad memansuhkan sistem cukai tersebut selepas berjaya menumbangkan Umno pada Pilihan Raya Umum ke-14, di mana rata-rata pengundi mengatakan kadar 6% GST menyebabkan peningkatan kos.

Ismail berkata kerajaan menyedari bahawa pelaksanaan GST bukan tindakan popular, namun ia tidak mempunyai banyak pilihan lain, mengatakan kerajaan kehilangan pendapatan sebanyak RM20 bilion (AS$4.57 bilion) setahun selepas cukai itu dimansuhkan.

Menurutnya, kerajaan akan menyasarkan kadar GST yang tidak membebankan rakyat, namun kadarnya juga tidak begitu rendah sehingga “mengagalkan matlamat untuk mengembangkan hasil cukai”.

Bagi 2022, kerajaan dijangka membelanjakan RM28 bilion untuk subsidi bahan api, lebih dua kali ganda berbanding RM11 bilion yang dibelanjakan tahun lalu.

Kerajaan juga turut menanggung subsidi lain seperti minyak masak, gula dan tepung.