- Iklan -
Berita

Kisah suami menjaga isteri terlantar sakit sepenuh masa

Walaupun Norhasnita Nordin memerlukan beberapa tahun sebelum pulih sepenuhnya, namun Akbar Ismail tetap tidak berputus asa.

Ahmad Mustakim Zulkifli
2 minit bacaan
Kongsi
Hilda yang berusia 15 tahun membantu ibunya, Norhasnita Nordin di rumah mereka di Pantai Dalam, Kuala Lumpur.
Hilda yang berusia 15 tahun membantu ibunya, Norhasnita Nordin di rumah mereka di Pantai Dalam, Kuala Lumpur.

Selama sembilan tahun, Norhasnita Nordin bekerja dengan sebuah syarikat swasta di Puchong sebagai pegawai bahagian kewangan.

Dia suka bekerja di sana dan cemerlang  dalam menyelesaikan tugasannya – sehinggalah pada satu hari dia mula mengalami masalah kesihatan.

Pada mulanya,  ibu tiga anak itu hanya menunjukkan simptom seperti penat badan, mual, cirit-birit dan jantung berdegup kencang.

Namun pemeriksaan pada bulan November lepas di sebuah hospital memberikan khabar duka kepada keluarganya apabila Norhasnita, 47, disahkan menghidap hipertiroid.

“Keadaan tertekan akibat urusan peribadi dan tempat kerja mengeluarkan kalenjar hiper dalam tiroidnya.

“Tidak lama kemudian, dia terkena serangan stroke (angin ahmar). Ketika itu dia masih boleh bercakap walaupun pertuturannya agak tidak teratur dan perlahan,” kata suaminya, Akbar Ismail kepada MalaysiaNow.

Akbar Ismail pernah bekerja di sebuah syarikat pembinaan namun berhenti bagi menjaga isterinya sepenuh masa.

Akbar, 57, kini berhenti kerja dan menjaga isterinya sepenuh masa.

Sebelum itu, Akbar bekerja dengan sebuah syarikat pembinaan dan ada membuat perkhidmatan e-hailing separuh masa.

Akbar dibantu anak ketiga Hasnita, Hilda yang masih bersekolah.

Menurut Akbar, hipertiroid itu menjejaskan keadaan jantung Norhasnita.

Katanya, degupan jantungnya semakin laju dan hanya boleh menjadi normal dengan memakan ubat.

“Ada kalanya degupan jantungnya boleh mencecah 200 kali seminit.

“Dari luar, boleh nampak degupan jantung,” katanya.

Hilda membetulkan tiub nasogastrik ibunya. Dia adalah pembantu utama bapanya dalam menjaga ibunya yang sakit.

Keadaannya semakin pulih pada Disember namun pada awal tahun ini, dia diserang angin ahmar sehingga mengakibatkan badannya terlalu lemah.

“Kali terakhir saya bercakap dengannya ialah pada hari serangan strok. Dia meminta saya balik dari hospital. Saya tunggu di luar dengan keadaan resah.

“Doktor memberikan ubat tidur, namun selepas sedar, dia tidak boleh bangkit dari katil,” katanya.

Hasil daripada beberapa imbasan CT, katanya doktor menjumpai darah beku di bahagian otak, yang menyebabkan tubuh Norhasnita tidak dapat berfungsi secara nomal.

Keadaannya seakan koma tetapi tidak berada dalam keadaan koma.

Sejak isterinya terlantar, Akbar berkata dia mula belajar cara-cara menguruskan pesakit.

“Semasa awal-awal sakit, kita gunakan khidmat jururawat sebab kita tak tahu-menahu. Sebelum ini isteri saya menggunakan alat bantuan pernafasan, sekarang tidak lagi,” katanya.

Anaknya Hilda akan membantu selepas waktu maghrib.

Memandangkan dia masih bersekolah, Akbar membenarkan anak gadisnya itu menyelesaikan hal-hal persekolahan terdahulu sebelum membantu ibunya.

“Hilda belajar cara membuat dressing dan kami menukar dressing luka di bahagian belakang Norhasnita.

“Dahulu, lukanya agak besar sehingga nampak tulang belakang tetapi berkat tangan Hilda, luka itu semakin mengecil. Doktor juga kagum dengan perkembangan itu,” tambahnya.

Hilda mengurut tangan ibunya yang terlantar sakit di atas katil akibat angin ahmar.

Banyak barangan keperluan dan ubat-ubatan yang harus dibeli Akbar yang mencecah RM3,000 sebulan.

Wanita itu juga harus dibawa ke hospital untuk rawatan susulan dan sesi fisioterapi secara berkala.

Ubat yang diperlukan ialah untuk jantung, paru-paru, otak dan penyakit kencing manis yang dihadapi wanita itu.

“Jika dia tidak mengambil ubat batuk, kita kena cuci kahak berkali-kali dalam sejam. Namun dengan ubat itu, satu atau dua kali sahaja dalam sejam.”

Di sebalik keadaan isterinya, Akbar berkata dia tetap berharap agar isteri kembali pulih walaupun tidak mampu pulih 100% seperti sebelum ini.

Katanya, keadaan Norhasnita lebih baik berbanding pesakit-pesakit yang mengalami masalah yang sama.

“Bulan lapan ini dia akan dimasukkan ke unit endokrin untuk proses rawatan radioaktif. Ia memerlukan persiapan rapi kerana Norhasnita tidak boleh berjumpa sesiapa dalam masa seminggu selepas rawatan.

“Buat masa ini, dia memerlukan perhatian kami 24 jam sehari,” katanya.

Akbar berkata, Norhasnita memerlukan masa kira-kira tiga tahun untuk pulih selepas daripada rawatan.