- Iklan -
Berita

Najib minta saya dapatkan ‘garis panduan’ sebelum beri keterangan kepada PAC, kata bekas pengerusi 1MDB

Mohd Bakke Salleh berkata kebimbangan yang timbul pada masa itu adalah untuk 'menjaga reputasi PM'.

Bernama
2 minit bacaan
Kongsi
Bekas pengerusi 1MDB Mohd Bakke Salleh meninggalkan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 9 Mei lalu. Gambar: Bernama
Bekas pengerusi 1MDB Mohd Bakke Salleh meninggalkan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 9 Mei lalu. Gambar: Bernama

Bekas Pengerusi 1Malaysia Development Berhad (1MDB) Mohd Bakke Salleh memberitahu Mahkamah Tinggi bahawa Najib Razak telah memintanya supaya bertemu bekas pengerusi Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) Hasan Arifin bagi mendapatkan “garis panduan” berhubung keterangannya kepada PAC pada 2016.

Bakke, 68, berkata beliau menerima panggilan daripada bekas perdana menteri itu kira-kira dua minggu sebelum prosiding PAC pada 11 Feb 2016.

“Saya menerima panggilan daripada Najib meminta saya berjumpa dengan pengerusi PAC Hasan Arifin. Beliau mengajak saya berjumpa di rumah Ahmad Farid Ridzuan, bekas pengarah urusan TV3. Dan kalau saya boleh ingat, panggilan telefon daripada PM, pastinya sebelum prosiding PAC.

“Beliau mahu saya berjumpa dengan Hasan dan juga Farid, hanya untuk memastikan kita semua memahami secara kasar apa yang perlu dikongsi atau diperkatakan di PAC, dan itulah intipatinya, semacam keharmonian. Pada masa itu yang menjadi perhatian adalah untuk menjaga reputasi PM, bimbang akan kejatuhan daripada perkara 1MDB ini, saga 1MDB.

“Saya kata ok, tetapi saya juga sebutkan kepada PM, kebimbangannya akan reda jika saya tidak dipanggil ke prosiding ini, itu lebih baik, tetapi bukan itu yang berlaku, saya dipanggil,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa pemeriksaan balas oleh peguam Muhammad Shafee Abdullah dalam perbicaraan bekas perdana menteri itu berhubung penyelewengan RM2.3 bilion daripada dana 1MDB.

Saksi itu selanjutnya berkata beliau bertemu Hasan dua kali pada dua hari berbeza di rumah Farid di Kiara Hills, dengan bekas ketua pegawai eksekutif 1MDB Shahrol Azral Ibrahim Halmi hadir pada mesyuarat pertama dan kemudian bekas ketua pegawai eksekutif 1MDB Arul Kanda Kandasamy hadir pada mesyuarat kedua.

“Saya beranggapan bahawa Hasan dan Farid hanya cuba untuk membuat saya menjadi lebih akomodatif, jangan terlalu keras dengan keterangan atau jawapan kepada PAC, jangan cuba mengelak perkara tertentu kerana ahli perniagaan dalam buruan Low Taek Jho atau nama Jho Low pun dianggap tabu, tidak boleh sebut,” katanya.

Shafee: Tan Sri, apakah perkara yang dianggap “sensitif”?

Bakke: Dua perkara, satu, nama Jho Low, satu lagi PM, cuba jangan buat sebarang rujukan kepada PM, cuba cakap dari segi pengurusan, lebih kepada usaha pengurusan.

Bakke berkata beliau hanya mendengar kerana beliau tahu apa yang akan beliau perkatakan pada siasatan PAC dan beliau tidak akan menjejaskan keterangannya pada siasatan PAC.

“Saya tidak akan membenarkan sesiapa mempengaruhi saya. Jadi saya hanya akan mengaitkan perkara itu, kerana itu adalah perkara yang benar, jadi saya akan berterus terang,” kata saksi itu.

Menjawab soalan lain, saksi itu berkata Jho Low adalah perantara antara 1MDB dan Najib dan bukan nomini kepada ahli Parlimen Pekan itu.

Najib, 68, menghadapi empat pertuduhan menggunakan kedudukannya untuk mendapatkan rasuah berjumlah RM2.3 bilion daripada 1MDB dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan jumlah yang sama.

Perbicaraan di hadapan hakim Collin Lawrence Sequerah bersambung.