- Iklan -
Berita

Minit Najib pada Zahid berhubung kontrak visa bukan arahan, kata pengarah Ultra Kirana

Fadzil Ahmad berkata kuasa untuk meluluskan kontrak VLN adalah di bawah kementerian dalam negeri.

Bernama
2 minit bacaan
Kongsi
Bekas menteri dalam negeri Ahmad Zahid Hamidi di Mahkamah Tinggi. Gambar: Bernama
Bekas menteri dalam negeri Ahmad Zahid Hamidi di Mahkamah Tinggi. Gambar: Bernama

Mahkamah Tinggi hari ini diberitahu bahawa minit bekas perdana menteri Najib Razak kepada Ahmad Zahid Hamidi supaya kontrak syarikat Ultra Kirana Sdn Bhd (UKSB) diteruskan sebagai pengendali tunggal sistem visa luar negara (VLN) ke Malaysia di China bukan satu arahan.

Pengarah UKSB Fadzil Ahmad berkata walaupun Najib adalah perdana menteri (PM) dan ketua Kabinet ketika itu, kuasa untuk meluluskan kontrak VLN adalah di bawah kementerian dalam negeri (KDN).

“Bagi saya, punca dan bidang kuasa (meneruskan kontrak) semua permohonan saya bermula di KDN sahaja, ia tidak bermula di pejabat PM, jadi pada saya, PM cuma boleh bantu untuk percepat, bukan beri arahan,” katanya semasa pemeriksaan semula oleh Timbalan Pendakwa Raya Zander Lim Wai Keong pada perbicaraan kes Ahmad Zahid yang menghadapi 40 pertuduhan rasuah.

Ditanya Zander Lim, siapa yang akan meluluskan lanjutan kontrak, Fadzil menjawab: “Keputusan akhir, Menteri Dalam Negeri (Zahid).”

Sebelum ini, dua saksi pendakwaan iaitu bekas timbalan ketua setiausaha (TKSU) (dasar dan kawalan) KDN Suriani Ahmad dan bekas ketua penolong setiausaha di bahagian hal ehwal imigresen KDN Azman Azra Abdul Rahman @ Md Salleh memberitahu mahkamah bahawa Najib telah meminta Zahid meneruskan kontrak UKSB sebagai pengendali tunggal sistem VLN ke Malaysia di China.

Minit-minit Najib kepada Zahid itu tertera di atas tiga surat yang dihantar UKSB kepada bekas perdana menteri itu antara 23 Mei 2013 dan 27 Oktober 2015 bagi mendapatkan sokongan selepas terdapat saingan daripada syarikat lain yang berminat mengendalikan pusat sehenti (OSC) di China dan beberapa negara lain.

Sementara itu, semasa pemeriksaan balas oleh peguam Hamidi Mohd Noh, saksi pendakwaan ke-14 itu bersetuju bahawa pelanjutan kontrak lebih awal adalah sesuatu yang biasa.

Hamidi: “Tidak ada keperluan pada UKSB untuk secara cepat atau mendapatkan lanjutan kerana secara logiknya anda boleh melanjutkannya melepasi enam bulan .

Kedua adalah biasa untuk dilanjutkan. Ia bukan satu perkara yang baru dan memerlukan insentif, ataupun motivasi untuk lanjutkan kontrak itu. Tiada yang pelik mengenainya. Adalah biasa kontrak itu perlu dilanjutkan, betul?”

Fadzil: Ia bergantung kepada mengapa ia perlu dilanjutkan. Saya rasa bukan dilanjutkan secara automatik.

Saksi itu bersetuju dengan cadangan peguam bahawa berdasarkan Klausa 2.2.1 perjanjian untuk membekalkan sistem bersepadu VLN yang dimeterai sebelum ini, syarikat boleh memohon pelanjutan kontrak tidak kurang dari enam bulan sebelum tarikh tamat perjanjian.

Fadzil turut bersetuju dengan peguam itu bahawa tidak menjadi kesalahan jika permohonan pelanjutan tersebut dibuat dua atau tiga tahun lebih awal sebelum ia luput.

Sebelum ini, saksi pendakwaan keenam Alwi Ibrahim iaitu bekas ketua setiausaha KDN ada memberitahu mahkamah bahawa beliau tidak berpuas hati dengan keputusan Zahid yang melanjutkan kontrak UKSB bagi pelaksanaan sistem VLN terlalu awal sedangkan tempoh tamat masih panjang.

Zahid, 69, berdepan 33 pertuduhan menerima suapan berjumlah SG$13.56 juta daripada UKSB untuk dirinya selaku menteri dalam negeri bagi melanjutkan kontrak syarikat itu sebagai pengendali perkhidmatan OSC di China dan sistem VLN serta mengekalkan kontrak perjanjian untuk membekalkan sistem bersepadu VLN kepada syarikat sama oleh KDN.

Bagi tujuh lagi pertuduhan, beliau didakwa telah mendapatkan untuk dirinya wang tunai SG$1,150,000, RM3 juta, EURO15,000 dan AS$15,000 tanpa balasan daripada UKSB yang mempunyai kaitan dengan kerja rasmi beliau.

Beliau didakwa melakukan kesemua perbuatan itu di Seri Satria, Presint 16, Putrajaya dan Country Heights Kajang antara Oktober 2014 dan Mac 2018.

Perbicaraan di hadapan hakim Mohd Yazid Mustafa bersambung esok.