- Iklan -
Berita

Pindaan perlembagaan lulus, Umno adakan pemilihan 6 bulan selepas PRU

Usul penangguhan pemilihan parti itu diluluskan dalam Perhimpunan Agung Khas Umno di Kuala Lumpur hari ini.

Bernama
2 minit bacaan
Kongsi
Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi dan barisan pimpinan parti itu di Perhimpunan Agung Khas Umno yang diadakan di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia, Kuala Lumpur hari ini. Gambar: Bernama
Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi dan barisan pimpinan parti itu di Perhimpunan Agung Khas Umno yang diadakan di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia, Kuala Lumpur hari ini. Gambar: Bernama

Perhimpunan Agung Khas Umno hari ini sebulat suara meluluskan usul meminda perlembagaan Umno yang antara lain membolehkan pemilihan parti diadakan tidak lebih daripada enam bulan selepas pilihan raya umum (PRU).

Setiausaha Agung Umno Ahmad Maslan mengesahkan perkara itu menerusi laman Twitter beliau.

“Diluluskan pindaan perlembagaan dengan sebulat suara oleh perwakilan dalam #Dewan Merdeka, #WTCKL pada 15/5/2022. Alhamdulillah,” katanya menerusi ciapan terbaharunya.

Usul  pindaan itu yang membabitkan Fasal 10.16, Fasal 15.3 dan Fasal 18.2 terdahulu dibentangkan Naib Presiden Umno Mohamed Khaled di hadapan 2,586 perwakilan yang hadir. 

Umno sebelum ini menangguhkan pemilihan parti di semua peringkat cawangan, bahagian dan Majlis Tertinggi (MT) Umno selama 18 bulan selepas penggal 2018/2021 berakhir pada 30 Jun tahun lepas 

Jika dihitung, tempoh 18 bulan itu akan tamat hujung tahun ini dan pemilihan Umno perlu diadakan sebelum 30 Disember 2022.

Berdasarkan dokumen pindaan yang dibentang, ia memperuntukkan dua cadangan fasal baru iaitu Fasal 10.16.1 yang menyebut MT Umno berhak menangguhkan pemilihan di peringkat MT, bahagian dan cawangan.

Ia menyebut: “Penangguhan berkenaan tidak boleh lebih daripada 18 bulan dari tarikh pemilihan yang sepatutnya ia diadakan atau tidak lebih daripada enam bulan selepas diadakan sesuatu PRU Parlimen (Dewan Rakyat), yang mana terkemudian”.

Fasal 10.16.2 pula menyatakan tarikh PRU yang dinyatakan dalam Fasal 10.16.1 bermaksud tarikh mengundi bagi PRU yang dinyatakan dalam writ vang dikeluarkan mengikut Seksyen 12 Akta Pilihan Raya 1958 atau mana-mana undang-undang yang terpakai bagi tujuan sama.

Sementara itu kedua-dua Fasal 15.3 dan 18.2 turut memperuntukkan penangguhan serupa bagi pemilihan jawatankuasa ketiga-tiga sayap – Wanita, Pemuda dan Puteri Umno di peringkat bahagian dan cawangan.

Persidangan Agung Khas Umno itu berlangsung di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL) yang turut disusuli sambutan ulang tahun ke-76 parti terbesar orang Melayu itu dan jamuan Hari Raya Aidilfitri UMNO.

Ia turut dihadiri Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob yang juga naib presiden Umno.

- Iklan -

Paling Popular

Tiada artikel ditemui.