- Iklan -
Berita

Bank Negara naikkan kadar faedah pinjaman untuk tangani inflasi

Bank Negara Malaysia menaikkan Kadar Dasar Semalaman 25 mata asas kepada 2%.

Bernama
2 minit bacaan
Kongsi
Bank Negara Malaysia menyertai bank pusat lain di seluruh dunia dalam mengetatkan dasar monetari ekoran kos barangan keperluan harian yang meningkat akibat masalah rantaian bekalan dan lonjakan harga komoditi.
Bank Negara Malaysia menyertai bank pusat lain di seluruh dunia dalam mengetatkan dasar monetari ekoran kos barangan keperluan harian yang meningkat akibat masalah rantaian bekalan dan lonjakan harga komoditi.

Bank Negara Malaysia (BNM) menaikkan Kadar Dasar Semalaman (OPR) sebanyak 25 mata asas kepada 2% pada mesyuarat Jawatankuasa Dasar Monetari (MPC) ketiganya tahun ini.

Dalam Kenyataan Dasar Monetari semalam, BNM berkata kadar tertinggi dan terendah koridor bagi OPR turut dinaikkan, masing-masing kepada 2.25% dan 1.75%.

Menurut bank pusat, pembukaan semula ekonomi global yang berterusan serta keadaan pasaran pekerja yang bertambah baik terus menyokong pemulihan kegiatan ekonomi.

Hal ini telah mengurangkan sebahagian daripada kesan konflik ketenteraan di Ukraine dan langkah-langkah pembendungan yang ketat di China.

“Tekanan inflasi telah meningkat secara mendadak disebabkan oleh kenaikan harga komoditi, rantaian bekalan yang tertekan dan keadaan permintaan yang kukuh, khususnya di Amerika Syarikat.

BNM berkata, kesannya, beberapa bank pusat dijangka membuat pelarasan pada penetapan dasar monetari mereka pada kadar yang lebih pantas bagi mengurangkan risiko inflasi.

Prospek pertumbuhan global akan terus dipengaruhi oleh perkembangan berhubung konflik di Ukraine, Covid-19, keadaan rantaian bekalan global, kejutan harga komoditi dan volatiliti pasaran kewangan.

Sementara itu, bank pusat berkata, bagi ekonomi Malaysia, penunjuk terkini menunjukkan pertumbuhan yang lebih kukuh, didorong oleh permintaan dalam negeri yang lebih mantap dalam keadaan pertumbuhan eksport yang mampan.

Pasaran pekerja terus disokong oleh kadar pengangguran yang lebih rendah, penyertaan tenaga kerja yang lebih tinggi dan prospek pendapatan yang lebih baik, katanya.

Peralihan ke fasa endemik pada 1 April, 2022 akan memperkukuh kegiatan ekonomi, sejajar dengan pelonggaran sekatan selanjutnya dan pembukaan semula sempadan antarabangsa.

“Aktiviti dan prospek pelaburan juga bertambah baik, disokong oleh realisasi projek berbilang tahun dan prospek pertumbuhan yang positif,” katanya.

Bagaimanapun, BNM menjelaskan risiko terhadap pertumbuhan masih wujud, termasuk pertumbuhan global yang lebih lemah daripada jangkaan, konflik geopolitik yang berterusan, gangguan rantaian bekalan yang bertambah teruk dan perkembangan buruk berhubung Covid-19.

Inflasi keseluruhan diunjurkan berpurata antara 2.2% hingga 3.2% pada 2022.

“Memandangkan peningkatan kegiatan ekonomi dalam keadaan tekanan kos yang berlarutan, inflasi asas seperti yang diukur oleh inflasi teras dijangka meningkat untuk mencatatkan purata antara 2% hingga 3% pada 2022.

“Bagaimanapun, tekanan harga menaik akan dibendung sebahagiannya oleh kawalan harga sedia ada dan lebihan kapasiti yang berterusan dalam ekonomi,” katanya.

Sementara itu, prospek inflasi terus dipengaruhi oleh perkembangan harga komoditi global yang berpunca terutamanya daripada konflik ketenteraan yang berterusan di Ukraine serta gangguan berkaitan bekalan yang berlanjutan, di samping langkah-langkah dasar dalam negeri mengenai harga yang ditadbir.

Sepanjang krisis Covid-19, OPR dikurangkan sebanyak 125 mata asas secara kumulatif kepada paras terendah yang belum pernah dicatatkan sebelum ini iaitu 1.75% bagi memberikan sokongan terhadap ekonomi.

BNM berkata keadaan pandemik yang pertama kali berlaku sehingga memerlukan tindakan sedemikian, kini telah reda.

“Dengan pertumbuhan dalam negeri yang semakin kukuh, MPC mengambil keputusan untuk mula mengurangkan tahap akomodasi monetari.

“Pengurangan ini akan dilaksanakan secara terkawal dan beransur-ansur bagi memastikan dasar monetari kekal akomodatif untuk menyokong pertumbuhan ekonomi yang mampan dalam persekitaran harga yang stabil,” tambahnya.

- Iklan -

Paling Popular

Tiada artikel ditemui.